Utusan Borneo (Sarawak)

Tukang masak terperdaya sindiket alami kerugian lebih RM14,000

-

KANOWIT: Seorang tukang masak berputih mata kerana mengalami kerugian berjumlah RM14,369 diperdayak­an sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam kejadian itu, mangsa, 51, difahamkan telah dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai LHDN dari Perak ketika berada di rumahnya di pekan Kanowit pada 4 Jun lepas.

Wanita itu kemudian memberitah­u bahawa dia mempunyai tunggakan cukai dan namanya telah digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram.

Pengadu kemudian diarahkan untuk mendedahka­n butiran akaun banknya termasuk nombor PIN kad bank kononnya untuk tujuan siasatan dalaman.

Setelah mengikut arahan, mangsa membuat semakan pada akaun banknya dan terkejut mendapati sejumlah RM14,369.08 telah dipindahka­n ke akaun orang yang tidak dikenali.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kanowit.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong ketika dihubungi semalam mengesahka­n menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kes telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah beliau.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan memastikan mereka menghubung­i pihak polis sekiranya timbul sebarang keraguan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia