Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki India dilapor hilang tujuh tahun lalu ditemui selamat di Sibu

-

Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang oleh kedutaan India di Kuala Lumpur sejak tujuh tahun lalu dijumpai selamat di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, penemuan Orang Hilang (OH) yang dikenali sebagai Sushil Singh, 27, itu adalah susulan panggilan yang diterima pihak polis daripada seorang pemberi maklumat yang menyatakan mengenai lokasi lelaki itu pada Ahad lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Balai Polis Sibu Jaya telah berjaya mengesan OH yang dilaporkan hilang itu,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaa­n dan semakan mendapati lelaki tersebut adalah orang yang sama seperti yang dilaporkan. “Hasil siasatan pihak polis mendapati lelaki asing itu telah mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan warga tempatan dan tinggal di bandar ini,” katanya lanjut.

Terdahulu, polis di sini telah menerima satu laporan polis mengenai kehilangan lelaki warga asing itu yang dibuat kerani dari Kedutaan India di Kuala Lumpur mengenai kehilangan lelaki asing itu pada 31 Mei lepas.

Kali terakhir pihak polis di sini mengesan kedudukan OH berada di Lapangan Terbang Sibu pada 3 Jun 2015.

Sejak itu, pihak polis di sini terus menjalanka­n pencarian melalui siaran media termasuk Facebook IPD Sibu dan media akhbar tempatan sehingga lelaki asing itu dijumpai selamat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia