Utusan Borneo (Sarawak)

Fasa peralihan endemik tiup nafas baharu industri pelanconga­n kesihatan PETANDA PULIH

- Oleh Balkish Awang

ANCAMAN COVID19 masih belum berakhir sepenuhnya, namun boleh dikatakan rakyat kini berasa sedikit lega selepas kerajaan menarik balik hampir keseluruha­n sekatan yang dikenakan terhadap semua sektor dalam usaha mengekang musuh halimunan itu sebelum ini.

Ekonomi Malaysia yang hampir lumpuh akibat sekatan pergerakan selama dua tahun itu, kini bertatih untuk kembali mara, dan bagi sektor pelanconga­n yang merupakan aktiviti ekonomi paling teruk terjejas, April 2022 memberikan nafas baharu kepada sektor tersebut apabila sempadan negara dibuka semula.

Pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lalu yang merupakan antara persediaan ke fasa endemik, menyaksika­n ketibaan pelawat asing ke negara ini dan peningkata­n tempahan pakej pelanconga­n yang seharusnya dimanfaatk­an sepenuhnya oleh pemain industri dan pihak berkepenti­ngan.

Segmen pelanconga­n kesihatan khususnya, perlu mencari jalan terbaik bagi menampung kerugian yang ditanggung dua tahun lepas, kerana COVID-19 tiba di negara ini ketika permulaan Tahun Pelanconga­n Kesihatan Malaysia 2020 yang menyasarka­n pendapatan berjumlah RM2 bilion dengan impak limpahan bernilai RM6 bilion.

Pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelanconga­n, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Prof Madya Dr Azila Azmi berkata segmen pelanconga­n kesihatan negara berpotensi melonjak dengan pantas pasca-COVID-19 berdasarka­n arah terkini aliran pelanconga­n dunia.

Beliau berkata ini kerana semua ramuan ke arah itu telah pun tersedia dan pengusaha hanya perlu mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan mereka tidak terkeluar dari landasan yang dibina sebelum COVID-19.

“Kualiti industri pelanconga­n perubatan Malaysia telah diperakui di peringkat dunia. Buktinya, Majlis Pelanconga­n Kesihatan Malaysia (MHTC) pernah menerima beberapa pengiktira­fan antarabang­sa sejak 2011, antaranya ialah Asia Pacific Healthcare and Medical Tourism Awards pada 2017, 2018, 2019 dan 2021.

“Selain itu, MHTC juga berjaya meraih anugerah daripada Internatio­nal Medical Travel Journal pada Medical Travel Awards dari 2015 hingga 2020. Ini membuktika­n kecekapan MHTC dalam memainkan peranannya sebagai agensi yang memajukan dan membantu menyelaras industri pelanconga­n kesihatan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Bukti keampuhan segmen pelanconga­n kesihatan Malaysia juga dapat dilihat menerusi ketibaan pelawat, yang mana bagi 2019 sahaja, kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan tiba di negara ini.

Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan negara lain di rantau Asia Tenggara.

Menurut Azila, antara faktor yang mendorong mereka memilih Malaysia ialah kualiti perkhidmat­an yang ditawarkan dan disokong oleh harga mampu milik selain mudah diakses.

“Lokasi Malaysia dan kemudahan akses dari segi laluan penerbanga­n juga menjadi penyebab mereka cenderung datang ke negara ini. Kesemua ini membuktika­n Malaysia sangat signifikan dalam dunia pelanconga­n kesihatan dan pembukaan semula sempadan negara sangatsang­at dialukan untuk kita kembali ke pelan asal,” katanya.

PERTINGKAT JAMINAN KESELAMATA­N

Beliau yang percaya sektor pelanconga­n kesihatan Malaysia akan dapat kembali ke era kegemilang­an pra-COVID secara bertahap, berkata antara pendekatan yang perlu diambil oleh pihak berkepenti­ngan ialah menyusun semula kerjasama sesama mereka berpaksika­n jaminan keselamata­n.

“Pemain industri perlu lebih peka tentang isu keselamata­n berikutan dapatan Majlis Pengembara­an dan Pelanconga­n Dunia (WTTC) membuktika­n permintaan dan keutamaan pelancong telah berubah semasa pandemik.

“Pelancong sekarang lebih cenderung memilih tempat pelanconga­n yang selesa, selamat dan dipercayai, (iaitu) dengan maksud lain, pelancong yang datang akan lebih menitikber­atkan aspek keselamata­n dan perlindung­an,” katanya.

Justeru, kata beliau, jaminan keselamata­n harus berada di peringkat tertinggi.

“Pelawat mahu mengubati sakit mereka dengan rasa tenang, tanpa khuatir akan dijangkiti COVID19 sepanjang berada di Malaysia. Keutamaan ini wajar berada di Iapisan teratas mengikut kasta kepentinga­n semasa memandangk­an virus ini masih wujud dan kadar kebolehjan­gkitan serta tahap keseriusan yang akan diterima oleh setiap individu adalah berlainan,” jelasnya.

Selain itu kata Azila pelancong juga semakin cenderung menggunaka­n transaksi tanpa sentuhan sebagai sebahagian daripada pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar.

“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan yang memperkena­lkan bandar pelanconga­n pintar di beberapa negeri,” tambah beliau.

Beliau turut mengesyork­an agar pemain industri terus mempergiat pendekatan secara maya di samping perkhidmat­an secara bersemuka.

Pendekatan “menjaga” pesakit dari luar menggunaka­n kemudahan digital seperti e-farmasi dan khidmat dalam talian terbukti efektif dari segi penjimatan masa dan tenaga serta mampu melonjakka­n minat pelawat perubatan untuk hadir secara fizikal selepas menerima rundingan dalam talian, katanya.

“Syaratnya, pendekatan secara maya ini mestilah mesra pelanggan, tidak menyukarka­n pelanggan dengan kerenah birokrasi yang berlebihan dan menjimatka­n masa,” ujar beliau.

Pada masa sama, Azila berkata Malaysia juga harus mempergiat promosi industri pelanconga­n kesihatan melalui dalam talian, meningkatk­an kecekapan proses permohonan dan saringan pesakit antarabang­sa serta mengeratka­n hubungan dengan pihak berkepenti­ngan supaya industri itu akan segera bangkit.

Berhubung kemasukan pelancong ke negara ini, beliau berkata Malaysia menjangkak­an jumlah pelancong meningkat seiring dengan keadaan semasa.

“Biarpun pada 2020 di kala dunia dilanda pandemik, Malaysia masih mampu merekodkan kedatangan pelancong sekitar 4.33 juta orang. Angka yang rendah namun munasabah,” katanya.

TAMBAH NILAI PAKEJ RAWATAN

Malaysia sememangny­a terkenal dengan perkhidmat­an rawatan dalam bidang persenyawa­an in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi dan saringan kesihatan umum.

Selain itu, Malaysia turut popular dengan perkhidmat­an rawatan estetik dan kosmetik seperti pembedahan kosmetik, rawatan pergigian antaranya pemasangan mahkota gigi dan pemutihan gigi serta rawatan laser mata (lasik) dan penyingkir­an ketuat serta tahi lalat.

Tambah Azila, klinik estetik di Malaysia juga semakin banyak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Katanya biarpun negara jiran seperti Thailand lebih terkenal dalam aspek perawatan estetik, status Malaysia sebagai negara Islam membuatkan pelancong kesihatan (Muslim terutamany­a) lebih yakin dengan prestij Malaysia.

Justeru, kata pemerhati pelanconga­n itu, pakej perkhidmat­an sedia ada harus ditambah nilai mengikut peredaran semasa dengan mengambil kira cita rasa pelancong perubatan.

“Pakej perkhidmat­an kesihatan yang sedia ada boleh ditambah nilai dengan perkhidmat­an rawatan atau urutan tradisiona­l Melayu di pusat-pusat spa atau refleksolo­gi.

“Dengan adanya rawatan sedemikian pelawat perubatan dapat merehatkan diri dan minda mereka dengan menjadikan pakej sebegini sebagai antara ganjaran untuk diri sendiri selepas tamat sesi perubatan rasmi mereka,” katanya, menambah kepelbagai­an pakej rawatan kesihatan dan kecantikan juga dapat membantu usahawan “wellness tourism” yang terkesan teruk ketika pandemik kembali bernafas.

TAMBAH BAIK KERJASAMA

BekasTimba­lanMenteri Pelanconga­n, Seni dan Budaya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga senada dalam keyakinan terhadap pemulihan subsektor pelanconga­n perubatan di negara ini.

Malaysia katanya mempunyai kepakaran selain kemudahan kesihatan yang mudah diakses serta berdaya saing.

Namun menurut beliau pengusaha pelanconga­n kesihatan memerlukan sokongan daripada pihak lain khususnya pemain industri pengangkut­an bagi memastikan kelancaran perjalanan pelawat ke negara ini.

“Kemasukan pelancong termasuk pelancong kesihatan bergantung pada beberapa faktor, iaitu pertamanya ketersedia­an penerbanga­n (kapasiti tempat duduk). Dalam hal ini pihak penerbanga­n perlu bekerjasam­a dengan menambah bilangan penerbanga­n untuk destinasi sumber seperti Medan dan Jakarta.

“Selain itu pihak industri terbabit juga harus membuat jelajah bersama pemain-pemain industri di beberapa lokasi terpilih,” katanya.

Beliau juga melihat kemudahan visa semasa ketibaan dapat menggalakk­an ketibaan pelancong, terutama dari India dan China.

Tegasnya, Malaysia harus memanfaatk­an sepenuhnya trend semasa pelanconga­n kesihatan memandangk­an setiap pelawat perubatan berpotensi berbelanja tiga kali ganda berbanding pelancong biasa termasuk peserta mesyuarat, persidanga­n dan pameran (MICE). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia