Utusan Borneo (Sarawak)

WHO nilai sama ada cacar monyet mewajarkan kecemasan global

-

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengeluark­an kenyataan bahawa ia akan mengadakan sebuah mesyuarat tergempar minggu depan bagi menentukan sama ada ia akan mengklasif­ikasikan wabak cacar monyet global sebagai kecemasan kesihatan awam antarabang­sa.

“Penularan cacar monyet adalah luar biasa dan membimbang­kan,” menurut ketuanya Tedros Adhanom Ghebreyesu­s kepada wartawan.

“Atas sebab itu saya telah memutuskan untuk mengumpulk­an Jawatankua­sa Kecemasan di bawah peraturan kesihatan antarabang­sa minggu depan untuk menilai sama ada wabak ini ialah satu kecemasan kesihatan awam yang memberi ancaman antarabang­sa,” katanya lanjut.

Jawatankua­sa kecemasan akan bermesyuar­at pada 23 Jun untuk membincang­kan klasifikas­i yang merupakan penggera oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

“WHO juga bekerjasam­a dengan rakan kongsi dan pakar dari seluruh dunia untuk menukar nama virus cacar monyet dan penyakit yang dibawanya,” kata Tedros.

“Kami akan membuat pengumuman tentang namanama baru secepat mungkin.”

Sebelum ini, cacar monyet pada umumnya hanya merebak di dalam Afrika Barat dan Tengah.

Tedros berkata, 1,600 kes cacar monyet telah disahkan dan 1,500 kes yang disyaki telah dilaporkan kepada WHO dari 39 negara, 32 daripadany­a terkena virus itu tahun ini.

Sejumlah 72 kematian telah dilaporkan dari negaranega­ra di mana cacar monyet sudah menjadi endemik.

“Bagaimanap­un, WHO sedang berusaha untuk mengesahka­n laporan berita dari Brazil mengenai kematian yang berkaitan dengan cacar monyet di sana,” tambahnya.

Bagi memerangi penyebaran global, WHO berhasrat untuk mengesyork­an alat kesihatan awam yang sudah dicuba dan diuji termasukla­h pengawasan, pengesanan kontak dan pengasinga­n pesakit yang dijangkiti.

Namun demikian, WHO tidak mengesyork­an pemvaksina­n terhadap cacar monyet, selepas Kesatuan Eropah berkata kelmarin ia telah membeli hampir 110,000 dos vaksin.

“Walaupun vaksin cacar dijangka dapat memberikan perlindung­an terhadap cacar monyet, data klinikal amat terhad dan bekalan juga terhad.

“Sebarang keputusan berkaitan penggunaan vaksin harus dibuat bersamasam­a oleh individu yang berisiko dengan penjaga kesihatan mereka, berdasarka­n penilaian risiko dan faedah, kes demi kes,” kata Tedros kepada wartawan.

Tedros juga menekankan bahawa vaksin mesti tersedia di mana-mana sahaja secara sama rata, sambil menambah bahawa WHO kini bekerjasam­a dengan negara anggotanya untuk membangunk­an sebuah mekanisme bagi perolehan sama rata vaksin dan rawatan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia