Utusan Borneo (Sarawak)

Graduan perlu main peranan, pastikan Malaysia kekal berdaulat: Tengku Permaisuri Selangor

-

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar para graduan dapat memainkan peranan masingmasi­ng secara intelek, bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara berdaulat.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga ProCanselo­r Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah mengingatk­an graduan sebagai golongan intelek agar jangan sesekali membiarkan negara dalam keadaan porak-poranda, kacau-bilau, dan hilang segala-galanya.

“Salah satu daripada caranya ialah dengan bersatu padu sesama kita rakyat

Malaysia. Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan mampu mempertaha­nkan negara kita ini daripada pelbagai bentuk ancaman yang datang daripada pihak yang mahu melihat negara kita ini jatuh dan hancur,” titah baginda pada hari kedua Istiadat Konvokesye­n UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam semalam.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan terus membimbing anak-anak dan sentiasa menegur agar mereka tidak melupakan asal usul.

“Ibu bapalah yang membimbing mereka sejak kecil, sehingga berjaya pada hari ini. Saya berharap, ibu bapa tidak akan berhenti membimbing anak-anak setakat ini sahaja. Tegurlah mereka, dari jauh mahupun dekat, agar mereka tidak akan lupa asal usul mereka,” titahnya.

Tengku Permaisuri percaya di bawah pimpinan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, universiti itu mampu mencapai hasrat menjadi Globally Renowned University pada 2025.

“Sudah terbukti, pada tahun 2022 ini, walaupun dalam suasana dunia dilanda pandemik COVID-19, UiTM berjaya berada di kedudukan 105 dalam QS Asia University Rankings dan kedudukan 651-701 dalam QS World University Rankings.

“Ini bermakna, dengan pencapaian ini, UiTM berada pada landasan yang betul dan tepat untuk menjadi universiti terkemuka dunia. Saya akan bersama-sama UiTM untuk memberi komitmen dan kerjasama agar cita-cita ini dapat dicapai pada tahun 2025 nanti,” titah baginda.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaik­an Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia