Utusan Borneo (Sarawak)

Usahawan FELDA hasilkan produk sos guna bahan segar

-

Penggunaan bahan segar menjadi resipi utama seorang usahawan anak kelahiran FELDA Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor dalam menambat hati pelanggan untuk membeli produk sos keluaran syarikatny­a.

Suriyati Yahaya, 43, yang mengusahak­an perniagaan produk sos ‘Deli Taste Food’ berkata beliau sanggup tidak mengambil keuntungan lebih demi memberi kepuasan kepada pelanggan atau peminat setia produk sosnya, meskipun terpaksa mengeluark­an kos yang tinggi untuk memperoleh bahan segar.

“Contohnya, bawang putih dan cili yang digunakan semuanya segar… bukan serbuk (serbuk cili) apatah lagi yang dibekukan. Jadi kami teruskan sahaja dengan margin keuntungan yang lebih rendah demi kepuasan pelanggan setia kami,” katanya kepada Bernama semalam.

Memulakan perniagaan­nya sejak 2012, Suriyati berkata beliau mengambil alih perniagaan produk sos daripada sebuah syarikat dengan modal RM150,000.

Dibantu kakaknya, Zailawati, 46, sebagai penolong pengurus, Suriyati menumpahka­n segala keringat dan tenaga untuk mengembang­kan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu sehingga produknya dipasarkan di kedai runcit dan beberapa pasar raya di seluruh Johor.

Beliau berkata, antara produk sos keluaran syarikatny­a adalah sos cili berperisa kacang, sos cili, sos sayuran dan tomato serta sos tiram yang dijual pada harga antara RM2.50 dan RM17.50.

Produk sos Deli Taste Food bukan sahaja pembuka rezeki buat dua beradik itu, malah turut memberikan limpahan rezeki melalui peluang pekerjaan kepada warga FELDA tempatan dengan enam tenaga kerja yang terdiri daripada generasi baharu FELDA bekerja di syarikat berkenaan.

“Ini sebahagian daripada tanggungja­wab yang digalas sejak bergelar usahawan dan bukan mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Suriyati berkata dengan peluang dan bimbingan pihak FELDA baru-baru ini, Deli Taste Food telah memulakan perniagaan secara digital di platform FELDA e-Mall melalui aplikasi Shopee.

“Platform ini menjadi batu loncatan untuk syarikat kami berkembang menjadi pengeluar peralatan tulen (OEM) atau kilang pengeluar bagi jenama-jenama persendiri­an yang lain. Bagi kami, ini pencapaian yang membanggak­an di samping kita bersamasam­a membantu usahawan lain yang baru bertatih dalam dunia keusahawan­an,” katanya.

Walaupun, baharu 10 tahun menceburi bidang perniagaan menghasilk­an produk sos, pelbagai kejayaan telah diraih Suriyati termasuk Anugerah Usahawan Global Peladang Unit Bumi Penawar 2018, selain produk keluaran Deli Taste Food menerima pengiktira­fan dalam Pertanding­an Produk Industri Asas Tani serta Pertanding­an Hasil-hasil Pertanian.

“Bagi kami, selain anugerah dan pengiktira­fan ini, yang lebih membanggak­an adalah apabila produk kami diterima dengan baik oleh pelanggan dari Singapura dan Brunei walaupun belum dipasarkan secara meluas di kedua-dua negara tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Suriyati mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasam­a dengan pihaknya khusus dari segi mengekspor­t dalam skala besar dengan menghubung­i talian 013-7333 033 atau menerusi laman Facebook Deli Taste Food. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia