Utusan Borneo (Sarawak)

Maritim Malaysia tahan bot nelayan tangkap ikan di luar kawasan

-

BINTULU: Sebuah bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti penangkapa­n ikan di luar kawasan yang dibenarkan pada jarak lebih kurang 6.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong telah ditahan oleh Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu sekitar jam 1.05 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan setempat mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.

“Hasil pemeriksaa­n mendapati bot tersebut dikendalik­an lima kru warga Indonesia mempunyai dokumen yang sah dan tekong warga tempatan yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 21 hingga 47 tahun,” ujarnya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut menyita bot, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda beserta 4,000 kilogram (kg) ikan campur.

“Enam kru termasuk tekong berserta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” jelasnya.

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Justeru katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengingatk­an kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigak­an ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

 ?? ?? UNTUK SIASATAN: Bot nelayan tempatan yang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu kelmarin.
UNTUK SIASATAN: Bot nelayan tempatan yang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia