Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki disabitkan atas tuduhan khianat didenda

-

Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhka­n hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan terhadap seorang lelaki atas pertuduhan melakukan khianat terhadap harta benda milik iparnya sehingga menyebabka­n kerugian RM1,640.

Kuo Tai Tak, 35, juga dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan oleh mahkamah sama setelah mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan pecah masuk sebuah kediaman di Jalan Permai Timur 2.

Bagi pertuduhan melakukan khianat, Kuo didakwa merosakkan sebuah kereta Perodua Viva, sebuah kenderaan Nissan X-trail, pintu pagar utama serta pintu kayu sebuah rumah milik iparnya dikenali sebagai Wong.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun serta tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.

Bagi pertuduhan pecah masuk rumah, Kuo didakwa memecah masuk kawasan rumah milik Wong dan didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Kuo dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 12 Jun 2022, kira-kira jam 6.50 pagi di sebuah rumah di Jalan Permai Timur 2.

Berdasarka­n fakta kes, abang ipar pengadu iaitu tertuduh telah memecah masuk kawasan kediaman pengadu serta bertindak menendang pintu pagar utama rumahnya.

Tertuduh juga bertindak memukul cermin belakang kenderaan milik pengadu dan isterinya dengan menggunaka­n penyodok besi, selain merosakkan pintu kayu depan rumah pengadu.

Berikutan laporan polis yang dibuat, tertuduh telah ditahan pada hari sama kira-kira jam 5.25 petang di sebuah rumah di Lorong Belian dan polis turut merampas penyodok besi, topi hitam dan jaket berwarna coklat.

Siasatan kemudian mendapati pada hari kejadian tertuduh telah pergi ke rumah pengadu dengan niat untuk melakukan khianat terhadap harta milik pengadu, di mana kejadian tersebut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia