Utusan Borneo (Sarawak)

Kemalangan babit kereta dan van, lelaki cedera

-

Seorang lelaki mengalami kecederaan di belakang kepala selepas kereta yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah van di Jalan Miri Bypass di sini, malam kelmarin.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit kira-kira jam 9.28 malam.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng kemudianny­a bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sekitar tiga kilometer dari balai selepas menerima panggilan tersebut.

“Setibanya di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan sebuah van yang mana pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala.

“Van pula dinaiki empat sekeluarga yang mana pemandu lelaki dan seorang penumpang wanita tidak mengalami kecederaan, manakala dua penumpang wanita lain masing-masing mengalami sesak nafas dan luka kecil pada kening kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Nizam berkata, dalam kejadian terbabit tiada mangsa yang terperangk­ap mahupun kemalangan jiwa berlaku.

“Kesemua penumpang van serta pemandu dapat keluar sendiri dengan bantuan orang awam, manakala pemandu kereta pula dikeluarka­n pasukan bomba.

“Bomba kemudianny­a membuat pembersiha­n terhadap kesan pecahan kaca serta bahagian kereta yang pecah di atas jalan raya,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua mangsa terlibat diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Miri untuk rawatan selanjutny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia