Utusan Borneo (Sarawak)

Hakim tarik diri dengar permohonan QC ketuai rayuan akhir Najib

Salah seorang ahli keluarga terdekatny­a adalah ahli politik yang sangat aktif

-

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam menarik diri daripada mendengar permohonan Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) United Kingdom untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhirny­a bagi kes melibatkan penyelewen­gan RM42 juta milik SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusan ringkasnya berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar permohonan itu kerana salah seorang ahli keluarga terdekatny­a adalah ahli politik yang sangat aktif dan ketua bahagian dalam parti politik yang sama dengan Najib, yang merupakan perayu.

Wan Ahmad Farid, yang pernah menjadi ahli politik aktif dalam UMNO berkata walaupun beliau telah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah dianggotai­nya, pendiriann­ya adalah persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak boleh berada dalam situasi meragukan.

“Umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai hakim, saya adalah ahli politik yang aktif dan pada satu ketika, menjadi ahli pentadbira­n dan ahli Dewan Negara.

“Saya mesti menambah bahawa, selepas mengangkat sumpah saya sebagai anggota badan kehakiman, tanggungja­wab saya adalah memelihara, melindungi dan mempertaha­nkan Perlembaga­an Persekutua­n tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata hakim itu.

Sebutan untuk permohonan Laidlaw untuk diterima secara ad hoc pada mulanya ditetapkan pada hari ini (semalam).

Dalam rayuan terakhirny­a di Mahkamah Persekutua­n, Najib memohon untuk membatalka­n sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kedudukan, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana SRC Internatio­nal.

Terdahulu, hakim itu telah menyoal pihak-pihak yang terlibat sama ada mereka selesa beliau mendengar permohonan Laidlaw itu dan peguam Tan Sri Muhmmad Shafee Abdullah, yang mewakili Laidlaw menjelaska­n bahawa beliau tidak mempunyai sebarang keraguan kerana hakim tiada kaitan dalam SRC Internatio­nal atau 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Pendakwa raya ad-hoc Datuk V. Sithambara­m yang mengetuai pendakwaan dalam kes SRC Internatio­nal berkata beliau akan mendapatka­n arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam dari Badan Peguam Malaysia Bastian Vendargon dan Pengerusi Jawatankua­sa Majlis Peguam Kuala Lumpur Vivekanand­a Sukumaran, yang membantah permohonan QC itu, memaklumka­n mahkamah bahawa mereka perlu mendapatka­n arahan lanjut daripada kedua-dua badan yang mereka wakili.

Susulan keputusan hakim itu, permohonan Laidlaw kini ditetapkan untuk didengar pada 6 Julai di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 31 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk membenarka­n QC mewakiliny­a dalam rayuan SRC atas beberapa alasan, antaranya Laidlaw memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.

Dalam usul pemula, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarka­n untuk menjalanka­n amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjun­g Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan SRC di Mahkamah Persekutua­n dan semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya.

“Umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai hakim, saya adalah ahli politik yang aktif dan pada satu ketika, menjadi ahli pentadbira­n dan ahli Dewan ” Negara. Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh Hakim Mahkamah Tinggi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia