Utusan Borneo (Sarawak)

Diasak pembanguna­n, mampukah Taman Alam Kuala Selangor terus kekal?

- Oleh Kurniawati Kamarudin dan Sakini Mohd Said

Kemelut Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang merupakan satu-satunya ‘tangki oksigen’ yang masih berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan, kini menjadi tumpuan bicara dalam kalangan aktivis dan penduduk sejak akhir Mei lepas. Bagaikan telur di hujung tanduk, apakah masih ada harapan untuk KSNP bertahan? Bahagian pertama laporan khas ini mengupas persoalan itu.

SEMAKIN membimbang­kan! Hutan paya bakau di Kuala Selangor yang merupakan zon penampan semula jadi pesisiran pantai serta benteng tsunami, kini bukan sahaja diancam kemusnahan tetapi turut berisiko untuk lenyap ditelan kerakusan pembanguna­n di sekeliling­nya.

Terbaharu, Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang berkeluasa­n kirakira 292 hektar dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi menjadi sasaran seterusnya apabila ada pihak mengemukak­an cadangan untuk meneroka dan membangunk­an kawasan itu.

Cadangan membangunk­an kawasan Taman Alam yang kaya dengan khazanah bakau serta flora dan fauna untuk dijadikan pusat pelanconga­n bertaraf antarabang­sa itu mengundang kerisauan pakar serta pencinta alam dan penduduk sekitar.

Walaupun belum ada ‘hitam putih’ daripada kerajaan negeri Selangor mengenai cadangan itu, pembanguna­n tersebut, jika direalisas­ikan, pasti memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar kerana KSNP merupakan satu-satunya ‘tangki oksigen’ yang masih wujud di kawasan hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan.

Ini bukan kali pertama KSNP yang terletak di muara Sungai Selangor dan bersebelah­an dengan Bukit Melawati itu ‘diusik’. Dalam tempoh 2007 hingga 2008, kawasan tersebut pernah menjadi “mangsa kerakusan” pengusaha akuakultur yang meneroka secara haram sebahagian kawasan bakau di situ bagi mengusahak­an projek kolam udang dan ikan.

Meskipun berjaya dihentikan hasil tindakan pantas Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang menguruska­n KSNP sejak 35 tahun lalu, aktiviti guna tanah secara agresif di sepanjang kawasan hutan paya bakau yang dianggarka­n melebihi 10 kilometer berdasarka­n kiraan Google Earth itu, amat membimbang­kan.

Justeru, ada keperluan mendesak agar ekosistem semula jadi Taman Alam Kuala Selangor ini terus dipertahan.

BAGAIKAN TELUR DI HUJUNG TANDUK?

Semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2019, dimaklumka­n KSNP dalam proses akhir untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tujuan hutan lipur, hutan pelajaran dan hutan penyelidik­an.

Namun dengan perkembang­an yang berlaku ketika ini, 1,001 persoalan timbul mengenai status terkini KSNP yang dibuka kepada orang ramai sejak 1987, sama ada telah diwartakan sebagai HSK atau sebaliknya. Sekiranya telah diwartakan, bagaimana dengan ura-ura pembanguna­n yang akan dilaksanak­an di kawasan itu?

Pengurus MNS KSNP Maichal Isthyben turut tertanya-tanya tentang nasib Taman Alam yang sudah dianggap sebagai “rumah keduanya” itu, terutama apabila ada pihak yang datang membuat tinjauan awal, dipercayai bagi menjayakan projek pelanconga­n bertaraf antarabang­sa.

“Kenapa tidak ada pemberitah­uan daripada kerajaan negeri Selangor kepada MNS selaku pihak yang bertanggun­gjawab mengurus kawasan ini selama lebih tiga dekad? Bahkan hingga ke hari ini langsung tidak ada wakil daripada kerajaan negeri turun menjelaska­n mengenai cadangan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, beliau dimaklumka­n kedatangan wakil syarikat yang merancang projek pembanguna­n itu pada akhir bulan lepas bertujuan menjalanka­n kerja ukur tanah dan penandaan sempadan di kawasan tersebut.

Katanya pihak berkenaan mendakwa telah mendapat kelulusan bagi kebenaran memasuki dan memulakan kerja daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Malah katanya wakil syarikat itu turut menunjukka­n gambar surat kelulusan JPNS yang ditandatan­gani Pengarahny­a Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, bertarikh 23 Mei 2022, kepada pengarah syarikat yang bergelar “Tan Sri” berkenaan.

PERSOALAN STATUS

“Kami memang terkejut apabila ada beberapa wakil pihak pemaju yang datang untuk ukur tanah dengan menunjukka­n surat kebenaran tersebut yang jelas menyatakan cadangan pembanguna­n KSNP sebagai pusat pelanconga­n bertaraf antarabang­sa,” kata Maichal.

Menurutnya, surat kebenaran itu memeranjat­kan bukan kerana MNS telah lama melindungi, menjaga serta mempromosi­kan KSNP sebagai kawasan pendidikan paya bakau, penyelidik­an dan ekopelanco­ngan, tetapi juga atas dasar peranan Taman Alam berkenaan dalam menjaga kesejahter­aan manusia dan alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau berharap JPNS serta kerajaan negeri lebih telus dan tampil memberi penerangan lanjut berkaitan cadangan tersebut kepada MNS dan penduduk sekitar termasuk menyatakan dengan jelas status sebenar hutan berkenaan.

Hingga ke hari ini status KSNP masih menjadi polemik dalam kalangan ahli MNS serta penyelidik tempatan yang membuat kajian di situ kerana dikatakan tanah kerajaan negeri itu telahpun bertukar status kepada HSK apabila isu cadangan pembanguna­n berkenaan mula dibicaraka­n.

Malah, beberapa penyelidik tempatan yang ditemukan sedang membuat kajian di situ tidak mahu ditanya lanjut oleh Bernama mengenai penyelidik­an mereka di KSNP kerana bimbang kajian mereka terjejas sekiranya benar Taman Alam itu sudah berstatus HSK.

Ini kerana kemasukan ke HSK memerlukan permit daripada Pejabat Hutan Daerah.

Memasuki HSK tanpa kebenaran adalah satu kesalahan menurut Seksyen 47 (1) dan (4) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), dan jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi negeri Selangor yang telah melakukan pindaan ke atas Seksyen 47 (4) Akta Perhutanan Negara 1984, kesalahan memasuki HSK tanpa kebenaran boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarak­an hingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tahun lepas, seorang pegawai program MNS telah dipanggil berbincang dengan pegawai JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) dan JPNS mengenai usaha untuk jadikan KSNP sebagai hutan simpanan.

“Namun hingga ke hari ini MNS langsung tidak diberitahu perkembang­an usaha tersebut sehinggala­h barubaru ini kecoh diperkatak­an

KSNP sudah menjadi HSK selepas tersebar cadangan pembanguna­n berkenaan.

“Kami yang mengurus KSNP sepatutnya tahu status kawasan ini kerana jika berlaku kejadian tidak diingini pastinya MNS akan dipersalah­kan. Lagipun bukankah pertukaran status sesebuah kawasan kepada HSK akan diumumkan secara rasmi, tetapi kenapa tidak (kedengaran) dalam soal KSNP?” soalnya.

JADIKAN TAPAK RAMSAR

Maichal berkata jika benar KSNP sudah bertukar menjadi HSK, hutan tersebut perlu dinyahwart­akan terlebih dahulu sebelum boleh dibangunka­n, dan proses penyahwart­aan pula perlu melalui banyak peringkat termasukla­h penyiasata­n awam bagi mendapatka­n maklum balas orang ramai.

Negeri Selangor merupakan negeri pertama di negara ini yang menguatkua­sakan kaedah penyiasata­n awam susulan penambahba­ikan terhadap Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada 2011.

Menurut Maichal, bagi MNS, pewartaan KSNP sebagai HSK amat dialualuka­n kerana sudah sekian lama ia berusaha menjadikan kawasan itu sebagai hutan simpanan atau taman negeri seperti yang dilakukan oleh Johor menerusi Perbadanan Taman Negara Johor.

Malah, MNS juga sudah lama berusaha untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak Ramsar yang turut bertujuan melindungi khazanah alam, habitat dan hidupan liar.

Ini kerana KSNP bukan hanya terkenal sebagai lokasi penting laluan ‘East AsianAustr­alian Flyway’ burung migrasi dalam tempoh Oktober hingga Mac, tetapi juga kaya dengan khazanah flora dan fauna endemik seperti burung upeh yang kini diancam kepupusan, rama-rama mangrove tiger butterfly dan juga lotong kelabu yang hanya boleh ditemukan di Kuala Selangor, dikenali Trachypith­ecus selangoren­sis.

Selain itu, kawasan berkenaan turut menjadi habitat spesies memerang terancam seperti memerang licin (smoothcoat­ed otter), memerang kecil (Asian small-clawed otter) dan memerang hidung berbulu (hairy-nosed otter).

MNS berharap dengan adanya status HSK atau tapak Ramsar, ekosistem hutan paya bakau di taman alam itu akan dapat dilindungi sepenuhnya kerana di situlah sahaja hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan masih wujud.

Namun, perkhabara­n tentang cadangan pembanguna­n itu menimbulka­n persoalan berhubung rasional pertukaran kepada status HSK tersebut yang sepatutnya bermatlama­t utama melindungi dan memulihara kawasan hijau.

“Apa tujuan sebenarnya mereka jadikan KSNP sebagai hutan simpanan? Ini isu besar kerana hutan simpanan adalah untuk dilindungi, bukan dibangunka­n, dan tidak kiralah pembanguna­n tersebut sebahagian sahaja, langkah itu tetap mengancam kelestaria­n alam.

“Kerajaan negeri sewajarnya menolak terus cadangan tersebut sekiranya benar-benar hendak menjaga khazanah alam ini biarpun (cadangan) masih dalam proses penelitian,” katanya.

RESORT MEWAH DALAM HUTAN

Sambil menunjukka­n cadangan pelan pembanguna­n KSNP yang diperolehn­ya kepada Bernama, Maichal berkata beliau difahamkan kawasan itu akan dibangunka­n untuk kegiatan ekopelanco­ngan dengan pembanguna­n resort mewah yang meliputi beberapa zon termasuk di kawasan bakau.

Antara fasiliti yang dicadangka­n dalam projek itu ialah pusat jualan produk tempatan, pusat spa, yoga dan taici, kolam air panas serta beberapa jenis bilik penginapan termasuk chalet yang dianggarka­n berjumlah 200 unit.

“Hutan Taman Alam terdiri daripada dua jenis iaitu hutan sekunder di bahagian depan manakala bahagian belakang merupakan hutan paya bakau. Kalau dilihat pada cadangan pelan, pembanguna­n turut melibatkan kawasan paya bakau.

“MNS bukannya antipemban­gunan kerana kami faham pembanguna­n memang tidak dapat dielakkan, namun kenapa tidak dilakukan di tanah negeri yang banyak terbiar berbanding merosakkan ekosistem alam bakau yang sangat penting bukan sahaja bagi penduduk di situ tetapi juga kita semua,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati seakanakan tidak tahu mengenai status sebenar KSNP ketika diajukan persoalan itu.

“Setakat yang saya tahu KSNP belum diwartakan (sebagai HSK) dan masih lagi dalam proses... kena ‘double-check’ (semak) dengan JPNS,” katanya ketika dihubungi Bernama barubaru ini.

Bagaimanap­un beliau mengakui kerajaan negeri ada menerima cadangan daripada sebuah syarikat pemaju yang mahu membangunk­an sebahagian daripada KSNP menjadi sebuah ‘resort dalam hutan’, namun menurut Juwairiya hal itu belum lagi diputuskan.

“Memang ada pemaju nak cadang (pembanguna­n) tetapi kerajaan negeri belum setuju atau lulus… itu yang kita perlukan maklumat lebih terperinci bahagian mana dimaksudka­n untuk dibangunka­n, adakah kawasan itu menjejaska­n hutan paya bakau, sejauh mana hendak dibangunka­n.

“... kita tidak akan setuju kalau pemaju hendak bangunkan semua dan saya juga ada mengusulka­n kebimbanga­n KSNP merupakan lokasi penghijrah­an burung dan kerana itu semua perkara ini perlu dibentangk­an, perlu diusulkan kepada JPNS dan kena teliti betul-betul supaya tidak menjejaska­n hutan kita,” katanya.

SAH HUTAN SIMPAN

Bagaimanap­un maklumat terkini yang diperoleh Bernama menunjukka­n KSNP dalam proses pewartaan sebagai HSK dan hal itu disahkan oleh Pengarah JPNS yang berjaya dihubungi baru-baru ini.

Menurut Ahmad Fadzil, KSNP telah diluluskan sebagai HSK seluas kira-kira 292.18 hektar oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2018 dengan nama Hutan Simpan Melawati.

“Proses pewartaan hutan simpan ini sedang dilaksanak­an dan telah berada di fasa kedua iaitu penyediaan Pelan Warta oleh JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) Selangor.

“Fasa terakhir, JPNS akan mengambil tindakan untuk penyediaan Kenyataan Siar Warta melalui PTG (Pejabat Tanah dan Galian) Selangor yang dijangka selesai pada tahun ini juga,” jelasnya.

Pada masa yang sama, JPNS telah mengambil inisiatif awal dengan melantik jurukur berlesen pada penghujung 2021 untuk melaksanak­an pengukuran halus dan penyediaan Pelan Akui (PA) bagi Hutan Simpan Melawati ini. Proses pengukuran telah dilaksanak­an mengikut jadual kerja yang ditetapkan.

Setakat 12 April 2021, negeri Selangor mewartakan seluas 250,000 hektar HSK iaitu 31 peratus daripada keluasan darat negeri tersebut yang diuruskan di bawah prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentinga­n ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Selangor sebelum ini menetapkan pewartaan 30 peratus atau lebih kawasan tanah negeri itu sebagai HSK, merangkumi 71 hutan simpanan yang melibatkan tiga jenis hutan utama, iaitu hutan darat seluas 142,156 hektar, hutan paya laut (18,998 hektar) dan hutan paya gambut (82,890 hektar).

Justeru, apakah perlu KSNP menjadi korban pembanguna­n yang bertentang­an dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjaga kepentinga­n hutan secara berkekalan?

 ?? — Gambar Bernama ?? CADANGAN: Permandang­an menggunaka­n dron di Taman Alam Kuala Selangor dekat Selangor.
— Gambar Bernama CADANGAN: Permandang­an menggunaka­n dron di Taman Alam Kuala Selangor dekat Selangor.
 ?? — Gambar Bernama ?? SASARAN: Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang berkeluasa­n lebih kurang 292 hektar dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi turut menjadi sasaran berikutan terdapatny­a cadangan mahupun usaha daripada pihak tertentu untuk menerokai kawasan tersebut.
— Gambar Bernama SASARAN: Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang berkeluasa­n lebih kurang 292 hektar dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi turut menjadi sasaran berikutan terdapatny­a cadangan mahupun usaha daripada pihak tertentu untuk menerokai kawasan tersebut.
 ?? — Gambar Bernama ?? TERANCAM: Hutan paya bakau di Kuala Selangor yang merupakan nadi penting sebagai zon pelindung fizikal semula jadi pesisiran pantai mahupun benteng tsunami, kini diancam kemus nahan malah berisiko ‘lenyap’ dek kerakusan pembanguna­n di sekeliling­nya.
— Gambar Bernama TERANCAM: Hutan paya bakau di Kuala Selangor yang merupakan nadi penting sebagai zon pelindung fizikal semula jadi pesisiran pantai mahupun benteng tsunami, kini diancam kemus nahan malah berisiko ‘lenyap’ dek kerakusan pembanguna­n di sekeliling­nya.
 ?? ?? MAICHAL ISTHYBEN
MAICHAL ISTHYBEN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia