Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas rugi lebih RM4.3 juta terperdaya ‘love scam’

Selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegar­a Amerika Syarikat menerusi laman Facebook, tahun lepas

-

KUANTAN: Seorang pesara kerajaan mendakwa kerugian lebih RM4.3 juta akibat terperdaya dengan sindiket ‘love scam’, selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegar­a Amerika Syarikat menerusi laman Facebook, tahun lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 66 tahun itu dikatakan telah membantu suspek yang mendakwa bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali minyak, dan menetap di Amerika Syarikat antara 2 Dis 2021 hingga 31 Mei lepas.

“Pelbagai alasan telah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa antaranya membantu lelaki itu menjelaska­n hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan selain kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek, yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

“Sepanjang tempoh berkenaan, mangsa telah membuat 190 transaksi ke dalam pelbagai akaun bank diberikan oleh suspek dengan kerugian berjumlah RM4,342,500,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Bagaimanap­un, mangsa yang disedari telah diperdaya dengan sindiket berkenaan telah membuat laporan polis kelmarin, bagi membolehka­n siasatan lanjut dilakukan.

Dalam kes berasingan, Ramli memaklumka­n seorang lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terperdaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan ‘XFruit’ seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilk­an minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperoleh­i keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

“Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulka­n sebanyak AS $500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahka­n ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta,” katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengaha­n tahun 2015.

Ramli berkata selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyaka­n tentang perkembang­an pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

Mangsa yang berasa telah diperdaya dan ditipu dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, polis mengingatk­an orang ramai jangan terperdaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunaka­n pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa.

Pelbagai alasan telah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa antaranya membantu lelaki itu menjelaska­n hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan selain kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek, yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

Datuk Ramli Mohamed Yoosuf Ketua Polis Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia