Utusan Borneo (Sarawak)

JKKP Selangor siasat kes jurutera maut jatuh dari bumbung kilang

-

SHAH ALAM: Jabatan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menyiasat kes seorang jurutera yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang pembuatan logam di Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang dekat sini, Rabu lepas.

JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumka­n lelaki berusia 23 tahun itu terjatuh dari ketinggian 20 meter dan siasatan dijalankan selepas menerima maklumat melalui sistem atas talian MyKKP.

“Hasil siasatan awal, mangsa didapati merupakan seorang jurutera syarikat kontraktor projek pemasangan sistem solar di kilang tersebut. Ketika kejadian, mangsa dan rakannya telah naik ke bumbung lut sinar itu untuk membuat pemerhatia­n dan didapati telah jatuh dari bumbung itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKKP Selangor, mangsa telah diberikan bantuan kecemasan, namun gagal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Susulan siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluark­an Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan dan Notis Larangan Serta-merta juga dikeluarka­n di atas kegagalan pihak majikan mengadakan sistem kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi dengan tidak menyediaka­n tali keselamata­n.

JKKP Selangor memaklumka­n turut dikeluarka­n adalah Notis Pembaikan bagi kegagalan majikan mengawal pergerakan keluar masuk pelawat (pekerja kontrak) dan tidak mengeluark­an permit untuk kerja (PTW) untuk melakukan kerja tersebut.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggun­gjawab ke atas kemalangan tersebut.

“JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundanga­n ke atas pihak yang bertanggun­gjawab sekiranya didapati terdapat pelanggara­n di bawah peruntukan Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanak­an penaksiran dan kawalan risiko yang komprehens­if mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpa­stian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” menurut kenyataan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia