Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang penumpang wanita maut, 39 cedera dalam kemalangan bas

-

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang wanita maut manakala 39 lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan treler di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan berhampira­n Bukit Beruntung, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 pagi semalam, sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 4.54 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi semalam, bas tersebut merempuh bahagian belakang treler 20 tan yang bergerak dari arah sama.

“Mangsa yang duduk di kerusi hadapan sekali tersepit di bahagian yang remuk. Mangsa berjaya dikeluarka­n pada 5.13 pagi dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa Hamaizah Fadzilah, 54, berada dalam bas berkenaan bersama 39 penumpang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata kemalangan itu berlaku sewaktu bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arsad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan diminta menyalurka­nnya kepada polis bagi siasatan di bawah kaedah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia