Utusan Borneo (Sarawak)

Nenek tekad jaga empat cucu selepas kematian ibu

-

“Nenek reda dengan ujian ini dan selagi ada kudrat, keempat-empat cucu ini akan nenek jaga,” demikian tekad wanita warga emas Jawi Boyak, 76, yang kini perlu mengambil alih tanggungja­wab menjaga empat cucunya selepas kematian ibu mereka, Norhafizah Mohd Yahya tiga hari lepas.

Meskipun hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu sebagai tukang urut, Jawi yang menghidap darah tinggi berkata beliau akan berusaha menjaga Ahmad Hairul, Nor Azwa, Ahmad Norhafiz dan

Ahmad Norhakim, kesemuanya berusia antara enam dan 17 tahun.

“Arwah anak saya (Norhafizah) memang dah lama sakit buah pinggang dan perlu dialisis. Sejak tiga tahun lepas, keadaannya semakin merosot hingga meninggal dunia pada Rabu,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam.

Jawi berkata Norhafizah pernah melahirkan kebimbanga­n mengenai kebajikan anak-anaknya sekiranya dia meninggal dunia memandangk­an suaminya kini masih dalam tahanan, namun Jawi berjanji mengambil alih tanggungja­wab sebagai ibu dan bapa kepada cucu-cucunya itu.

“Memang ada yang mahu menjaga mereka terutama yang bongsu tetapi saya tidak benarkan sebab tidak yakin. Biarlah mereka ini berada di depan mata.

“Saya memang menjaga mereka sejak dari kecil sebab tinggal serumah dengan arwah. Lagipun Ahmad Norhafiz dan Ahmad Norhakim mempunyai masalah berkaitan jantung walaupun sudah mendapat rawatan,” katanya.

Jawi berkata Ahmad

Hairul, sebelum ini bekerja separuh masa sebagai pembantu katering bagi menambah pendapatan keluarga namun terpaksa berhenti apabila kesihatan Norhafizah semakin merosot.

“Kami tetap bersyukur. Setakat ini, kami cukup makan...pakai, tidak pernah keputusan bekalan makanan. Dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan upah mengurut sekitar RM600 sebulan, kami dapat bertahan,” katanya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembanguna­n Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Kalsom

Nordin yang hadir menziarahi keluarga itu berkata pihaknya akan membantu memastikan kebajikan empat beradik itu terjamin.

“Kita telah terima kes ini melalui JKM dan menukarkan bantuan penjagaan sakit terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada bantuan kanak-kanak RM600.

“Kita juga akan cuba mendapatka­n bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terbela terutama dari aspek pendidikan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia