Utusan Borneo (Sarawak)

SUKIPT 2022 pada Ogos di Universiti Pendidikan Sultan Idris

-

Selepas tertangguh penganjura­nnya pada 2020 akibat COVID-19, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 kembali dianjurkan bagi melahirkan persaingan kompetitif dan memberi ruang kepada mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) bergiat aktif dalam arena sukan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata lebih 6,000 atlet dan 70 kontinjen akan bersaing dalam 21 acara yang dipertandi­ngkan pada kejohanan yang menawarkan 210 pingat emas bermula 12 hingga 21 Ogos di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

“Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberikan beberapa Insentif Kecemerlan­gan SUKIPT yang baharu iaitu Olahragawa­n dan Olahragawa­ti SUKIPT masing-masing bakal menerima wang tunai RM3,000.

“Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT akan menerima wang tunai RM7,000 dan pemain yang berjaya melakukan hole-inone bagi sukan golf ditawarkan wang tunai RM1,000,” katanya berucap pada majlis perasmian SUKIPT 2022 di sini, semalam.

Beliau berkata wang tunai berjumlah RM20,000 turut akan diberikan secara bersama kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sukan yang bermula pada 2012 itu.

Noraini berkata bagi memberi kelainan, Hari Kerjaya Sukan juga akan diadakan dengan menghimpun­kan pengamal industri sukan dengan peserta dan pengunjung berpeluang mendapatka­n maklumat berkaitan kerjaya dalam bidang sukan.

“Saya percaya SUKIPT 2022 akan menjadi satu daripada medan untuk atlet IPT mengembali­kan prestasi terbaik mereka setelah hampir empat tahun tidak terlibat dengan kejohanan bertaraf kebangsaan, secara tidak langsung membolehka­n atlet membuat persediaan awal untuk menghadapi kejohanan besar di peringkat antarabang­sa pada 2023.

“Walaupun edisi kali ini tidak melibatkan penyertaan IPT dari negara Asia Tenggara seperti sebelum ini, saya yakin aksi yang dipamerkan oleh atlet yang bertanding tetap mampu meletakkan SUKIPT sebagai satu kejohanan sukan terbesar dan bertaraf tinggi setanding temasya lain seperti Sukan

Malaysia dan sebagainya,” katanya.

Menurut Noraini, KPT amat komited dengan usaha untuk meningkatk­an mutu sukan negara melalui penganjura­n acara sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabang­sa bagi mengekalka­n momentum kecemerlan­gan prestasi atlet IPT dan negara di peringkat tertinggi termasuk Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA dan Sukan Komanwel.

Beliau berkata atlet IPT menjadi antara penyumbang terbesar pingat kontinjen negara dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dengan 83 pingat atau 47.7 peratus daripada 174 pingat yang dimenangi adalah daripada atlet IPT iaitu 24 daripada 39 pingat emas, 21 daripada 45 perak dan 38 daripada 90 gangsa.

“Saya difahamkan kontinjen IPT negara akan berjuang di Sukan Universiti ASEAN pada 27 Julai hingga 6 Ogos ini di Ubon Ratchathan­i, Thailand, jadi saya harap atlet kita akan terus mempamerka­n aksi, mencipta kecemerlan­gan di persada Asia Tenggara,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PERASMIAN: Noraini (empat kanan) melancarka­n SUKIPT 2022 di Scholar’s Suites Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjung Malim, semalam. Turut sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (tiga kiri).
— Gambar Bernama PERASMIAN: Noraini (empat kanan) melancarka­n SUKIPT 2022 di Scholar’s Suites Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjung Malim, semalam. Turut sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (tiga kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia