Utusan Borneo (Sarawak)

PBB bukan lagi parti kampung

Parti berjaya atur langkah bawa Sarawak ke era pembanguna­n: Abang Johari

- Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan lagi parti kampung sebab ia telah melangkah ke hadapan seiring dengan perubahan dunia.

Presidenny­a Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PBB berjaya mengatur langkahnya dalam membawa Sarawak ke era pembanguna­n.

“Bukan saya nak meninggi diri, tetapi dunia telah mengiktira­f potensi Sarawak di Malaysia.

“Jadi ini adalah keadaan dan hari ini ramai yang datang ke Sarawak,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpuna­n Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama, dua Timbalan Presiden PBB iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta tetamu kehormat lain.

Menurut Abang Johari, banyak negara luar dan pelabur sudah mula melihat Sarawak.

“Tempoh hari, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer datang melawat Sarawak. Sebelum itu, kita mengalu-alukan delegasi dari negara Korea Selatan dan Belgium.

“Semua mereka menunjukka­n minat terhadap potensi Sarawak dari segi tenaga hijau.

“Orang negara Korea Selatan misalnya, nak tangkap karbon dan simpan di Sarawak. Saya pun kata okay, apa salahnya dan kita akan buat kajian,” katanya sambil memberitah­u, semua ini akan menjadi pendapatan berpotensi untuk Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata, pelbagai cabaran getir telah dilalui PBB semasa beliau mengambil alih tampuk kepimpinan terdahulu.

Namun katanya, dengan niat ikhlas untuk memastikan negeri ini terus maju, cabaran berkenaan telah berjaya diatasi.

“Ini termasuk menghadapi ketidakten­tuan politik nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalk­an Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, tindakan yang dibuat PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membolehka­n mereka membuat keputusan tanpa terikat dengan konsensus yang perlu diikuti sewaktu masih dalam BN.

Hal ini katanya, turut membolehka­n PBB memperjuan­gkan agenda ‘Sarawak Diutamakan’ dengan lebih berkesan, khususnya dalam mendapatka­n kembali hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, beberapa kejayaan dalam mendapatka­n kembali hak-hak tersebut telah ditempa dalam tempoh lima tahun lepas.

“Ia sekali gus membolehka­n Sarawak meningkatk­an pendapatan­nya, seterusnya digunakan untuk membantu seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

Pendapatan yang meningkat katanya, juga membolehka­n kerajaan GPS membuat perancanga­n pembanguna­n jangka panjang.

Ia termasuk cadangan menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat untuk manfaat rakyat Sarawak, katanya.

“Daripada sumber yang kita ada, kita tambah nilai kepada sumber kita dan seterusnya kita bangunkan seluruh Sarawak.

“Niat mesti betul dan Insya-Allah, Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat yang betul.

“Tapi kalau niat tak betul, Tuhan pun memerhati kita juga,” kata Abang Johari.

 ?? — Gambar Muhammad Rais Sanusi ?? UNTUK ALBUM: Abang Johari merakamkan kenangan bersama semua perwakilan PBB pada majlis perasmian Perhimpuna­n Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di BCCK, semalam.
— Gambar Muhammad Rais Sanusi UNTUK ALBUM: Abang Johari merakamkan kenangan bersama semua perwakilan PBB pada majlis perasmian Perhimpuna­n Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di BCCK, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia