Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki jalankan aktiviti tambah nilai kredit judi ‘online’ didenda RM10,000

-

SIBU: Seorang lelaki yang menjalanka­n aktiviti tambah nilai kredit bagi judi dalam talian, dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mahkamah turut mengenakan denda RM5,000 atau penjara tiga bulan terhadap Ho Boon Liang, 47, bagi mesin judi iaitu telefon bimbit jenama Vivo yang dirampas daripadany­a.

Mengikut pertuduhan, Ho dituduh mempelawa orang awam menyertai judi dalam talian dengan menggunaka­n sebuah telefon bimbit jenama Vivo, yang menyalahi Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) ARJT dan dihukum mengikut Seksyen 4(1) ARJT, yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun.

Sabit kesalahan juga boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Ho terdahulu dituduh melakukan kesalahan itu pada 10 Disember 2021, kira-kira jam 2.15 petang di tepi Jalan Channel.

Berdasarka­n fakta kes, pada hari kejadian sepasukan anggota polis telah menyerbu serta memeriksa sebuah premis di Jalan Channel.

Dalam pemeriksaa­n itu, pihak polis menjumpai seunit telefon bimbit daripada tertuduh yang dipercayai digunakan untuk tambah nilai kredit bagi tujuan judi dalam talian.

Sisatan mendapati telefon bimbit itu mempunyai beberapa teks WhatsApp yang memohon tambah nilai kredit kepada pemain bagi tujuan judi dalam talian.

Ho dibebaskan setelah membayar denda yang dikenakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia