Utusan Borneo (Sarawak)

Terpulang kepada presiden, Majlis Tertinggi PBB terima atau tidak Willie

-

Penerimaan permohonan Timbalan Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Willie Mongin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah terpulang kepada presiden dan Majlis Tertinggi PBB.

Naib Presiden PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu perlu diambil kira dan melihat beberapa sudut.

“Sudah tentu kita perlu melihat beberapa sudut dalam perkara ini. Antaranya, Majlis Tertinggi PBB perlu memutuskan selepas mendapat maklum balas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Puncak Borneo.

“Ini kerana ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan itu adalah PBB. Maka itu kita perlu berunding dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa merasmikan program ‘Bringing The World To Lundu’ sempena Miss Tourism Internatio­nal World Final 2022/2023 di Lundu, semalam.

Abdul Karim menambah, jika ketiga-tiga mereka bersetuju menerima Willie atau sebaliknya, Majlis Tertinggi PBB akan memutuskan berdasarka­n kepada aspek tersebut.

“Secara peribadi, saya merasakan permohonan beliau menyertai PBB menggambar­kan keyakinann­nya terhadap PBB,” kata beliau.

Pada Isnin lalu, Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo memberitah­u bahawa beliau telah memohon untuk menyertai PBB.

Menurutnya, permohonan menyertai parti itu dibuat beberapa bulan lalu.

“Ya, betul. Saya telah mengemukak­an permohonan menyertai PBB dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.

“Untuk rekod, apabila kerajaan (pusat) berubah, saya tidak menyertai sebarang parti politik tetapi saya tidak menafikan yang saya memilih menyokong kerajaan dan mereka (kerajaan ketika itu) secara teknikal meletakkan saya di bawah BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Ini dilakukan supaya saya dapat memastikan lebih banyak sokongan untuk kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Faedah Pencen Penakat PERKESO (Pertubuhan Keselamata­n Sosial) kepada waris di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo.

Willie berkata, beliau menyerahka­n kepada pucuk kepimpinan PBB menentukan status permohonan­nya itu.

Kawasan Parlimen Puncak Borneo sebelum ini merupakan kubu kuat PBB di bawah penyandang­nya, mendiang Datuk Seri Dr James Dawos Mamit sebelum kerusi itu dimenangi Willie yang bertanding menggunaka­n tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia