Utusan Borneo (Sarawak)

Masjid Darul Naim mercu tanda perkembang­an syiar Islam di Kampung Lintang

-

KUCHING: Pembinaan bangunan baharu Masjid Darul Naim Kampung Lintang di sini merupakan mercu tanda perkembang­an syiar Islam yang subur di Kampung Lintang.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembinaan Masjid Baru Kampung Lintang Abang Asri Ariffin berkata, masjid yang mula beroperasi di bangunan baharu serba moden itu pada 11 April lalu, telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

Katanya kerja pembinaan masjid bangunan baharu yang bernilai RM9 juta itu dimulakan pada 14 Disember 2018 dan Masjid Darul Naim dipindahka­n ke premis sementara di Dewan Serba Guna Kampung Lintang bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan.

“Dana pembanguna­n disumbangk­an oleh kerajaan negeri dan hasil sumbangan serta infaq yang diterima daripada orang ramai,” katanya menerusi kenyataan diedarkan kepada media sempena majlis perasmian di sini, semalam.

Beliau berkata, dengan keluasan kasar bangunan adalah 1,780 meter persegi, ia dibina atas keluasan tapak keseluruha­n seluas 1,888.90 meter persegi.

Antara kemudahan selain tempat solat yang luas dan selesa, bangunan dua tingkat itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan lain.

Katanya pembinaan bangunan baharu masjid berkenaan disebabkan pertambaha­n penduduk Kampung Lintang yang amat ketara berbanding bancian kependuduk­an 30 hingga 40 tahun lalu.

Bangunan lama yang asalnya direka untuk menampung kapasiti seramai 450 hingga 500 jemaah sahaja dan selepas dinaik taraf sebagai status masjid dan melalui beberapa proses pembesaran, ia mampu memuatkan 650 hingga 700 jemaah.

Masjid sedia ada sudah berusia 35 tahun dan keadaan bangunan lama juga usang, keretakan pada lantai dan dinding yang agak ketara selain keadaan pendawaian elektrik yang dibimbangi menjejaska­n keselamata­n para jemaah.

“Qariah Masjid Darul Naim bukan sahaja meliputi Kampung Lintang tetapi turut merangkumi kampung sekitarnya seperti Kampung Sungai Bedil Besar, Kampung Astana, Kampung Tanjung, Kampung Sinjan, Kampung Tupong dan Jalan Merdeka.

“Secara tidak langsung dengan terbinanny­a masjid baharu dengan kapasiti lebih luas dan selesa, akan menyatukan ukhwah penduduk di Kampung Lintang dengan penduduk lain,” kata Abang Asri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia