Utusan Borneo (Sarawak)

Laporan sosial remaja mengaku salah merompak didengar pada 1 Ogos

-

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan pada 1 Ogos akan datang untuk mendengar laporan sosial seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah atas tuduhan merompak barangan seperti puting bayi silikon di sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memerintah­kan pesalah muda berusia 18 tahun itu untuk direman lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh Dayang setelah mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk mendengar laporan sosial memandangk­an tertuduh merupakan pesalah muda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan rompakan terhadap pekerja kedai serbaneka 24 jam yang berusia 25 tahun dengan mengambil beberapa barangan seperti wang tunai, puting bayi silikon, seunit pemetik api dan sekotak minuman satu liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukann­ya pada 1 Jun lalu, sekitar jam 3.40 pagi di kedai tersebut yang terletak di Jalan Sentah Segu di sini.

Difahamkan, tertuduh yang kini sedang belajar disyaki terlibat dengan penyalahgu­naan dadah.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia