Gelabah sekatan JPJ, lelaki dirakam terburu-buru tanggal cermin gelap
Perkongsian video gelagat seorang lelaki di sini yang terburu-buru menanggalkan lapisan filem gelap pada cermin keretanya kerana menggelabah melihat ada sekatan jalan raya mencuit hati netizen.
Video berdurasi 24 saat itu yang tular dalam media sosial mendapat lebih 1,000 perkongsian dan sehingga kini ditonton 98,000 pengguna.
Malah gelagatnya yang kelam-kabut menanggalkan lapisan filem gelap pada cermin keretanya itu turut membuatkan ramai ketawa melihatnya.
Menurut pemilik video terbabit, terdapat sekatan jalan raya oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan menyebabkan rakannya cuak dengan situasi tersebut.
Lelaki itu kemudiannya segera menurunkan cermin keretanya dan menanggalkan kesemua lapisan filem gelap pada cermin.
Walaupun situasi itu kelihatan melucukan, pemandu kereta itu kelihatan sangat cuak dan sesekali memandang ke hadapan kerana bimbang tindakannya terbongkar.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut sama terhibur melihat gelagat pemandu terbabit.