Utusan Borneo (Sarawak)

Penyanyi Jason Lo bebas tuduhan dadah

-

Mahkamah Majistret di sini semalam melepas dan membebaska­n penyanyi Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine dalam badannya, tiga tahun lepas.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaska­n Jason Lo atau nama sebenar, Jason Jonathan Lo, 47, yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulka­n kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Hari ini ditetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan dan kamu (Jason Lo) dipertuduh­kan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mahkamah telah meneliti saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukaka­n berdasarka­n satu penelitian maksimum serta hujahan kedua-dua pihak.

“Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktika­n satu kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan (RM2,500) kamu dilepaskan. Alasan penghakima­n akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” kata Mohamad Fared.

Selepas prosiding itu selesai, Jason Lo, bersut hitam dilihat memeluk seorang rakannya yang berada di galeri awam.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Pada 13 Mei, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraa­n bermula pada 6 April 2021 dan antara saksi yang dipanggil ialah pegawai kimia, pegawai penyiasat dan pegawai yang menjalanka­n saringan ujian air kencing.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undangunda­ng, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield­s di Jalan Travers , Brickfield­s pada 5.15 petang, 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Jason Lo ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dia bersyukur dengan keputusan hari ini (semalam) dan berterima kasih kepada barisan peguamnya di atas kerja keras mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia