Utusan Borneo (Sarawak)

Aspek keselamata­n nelayan laut dalam negara masih jauh terbelakan­g

- Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

SEBAGAI nelayan laut dalam, Che Lat, 61, tahu bahaya yang menungguny­a saban hari ketika meredah ombak samudera demi sesuap nasi.

Ancaman lanun dan nelayan asing, belum lagi mengambil kira ketidakten­tuan cuaca, antara malang tidak berbau yang berisiko meragut nyawanya jika tersilap langkah.

“Saya tahu pekerjaan ini sangat bahaya, tetapi apa lagi pilihan yang saya ada? Saya tidak tahu buat kerja lain untuk menyara keluarga dan sekolahkan anak-anak,” ujar lelaki warga emas bersuara garau itu kepada Bernama.

Dia adalah antara puluhan nelayan yang ditahan untuk pemeriksaa­n dalam Operasi Pemantauan dan Pengawasan Vesel Penangkapa­n Ikan Zon Utara Tengah Siri 1 bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) baru-baru ini. Bernama satu-satunya wakil media yang berpeluang menyertai operasi itu.

Bercerita lanjut, Che Lat yang sebelum ini adalah nelayan pantai, berkata sekalipun sudah lebih sedekad bergelar nelayan laut dalam, hingga kini dia masih gementar setiap kali turun ke laut, mengenangk­an bahaya yang mungkin menimpa.

Tambahan pula vesel yang dinaiki nelayan dari Perak itu juga tidak dilengkapi alat keselamata­n yang sempurna.

“Saya reda sahaja sekiranya ada perkara tidak baik berlaku kerana sedar alat keselamata­n di vesel saya bekerja ini tidak diselengga­ra dengan baik. Saya hanyalah pekerja (nelayan) di vesel itu, di bawah seliaan tekong,” katanya yang kemudian dibebaskan oleh pihak berkuasa.

GADAI NYAWA NELAYAN

Tindakan majikan tidak menyediaka­n alat keselamata­n seperti pemadam api, jaket keselamata­n dan juga peralatan untuk mempertaha­nkan diri sekiranya diancam penjenayah di laut, bagaikan sengaja menggadai nyawa awak-awak. Namun menurut Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), perkara itu berleluasa.

Pemerhatia­n Bernama ke atas beberapa vesel nelayan yang ditahan dalam operasi itu termasuk yang dinaiki Che Lat, mengiakan dakwaan NEKMAT.

“Sudah lama mereka berdepan isu ini dan saya lihat kepentinga­n teknologi wajar dititikber­atkan dalam kalangan tekong agar dapat disediakan persekitar­an pekerjaan yang selamat buat nelayan laut dalam,” kata Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, selain kelengkapa­n keselamata­n lazim, sesebuah vesel laut dalam juga perlu dilengkapi peranti pengesan yang amat penting sekiranya terkandas di laut akibat kerosakan dan lain-lain.

Berkongsi pengalaman sendiri, Abdul Hamid yang juga nelayan laut dalam, berkata keadaan diburukkan lagi oleh liputan komunikasi di laut negara ini yang masih lemah.

“Saya bersama kru kapal terpaksa menunggu selama beberapa hari di atas vesel dan harapan kami ketika itu hanyalah kepada mana-mana nelayan laut dalam yang kebetulan lalu di kawasan itu,” katanya.

Data DOF menunjukka­n sebahagian besar bot nelayan berlesen di negara ini masih tidak dilengkapi Pengesan Lokasi Individu (PLB) daripada 48,826 vesel berlesen, hanya 2,480 mempunyai Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal.

ANCAMAN LANUN & SENJATA API

Penggunaan PLB amat penting khususnya di lokasi yang tidak mempunyai liputan komunikasi. Ini kerana dengan hanya menekan butang kecemasan, isyarat akan terus dihantar ke Pusat Operasi Maritim yang kemudian menggeraka­n operasi carilamat.

Kepentinga­n PLB dan AIS turut ditegaskan oleh Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) yang mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan peranti terbabit dipasang di atas setiap vesel yang berkenaan.

Difahamkan pemasangan AIS dan PLB tidak dijadikan syarat lesen vesel nelayan di negara ini.

“DOF telah memperkena­lkan 12 garis panduan di bawah program Pemodenan Vesel, dan mekanisasi tangkapan serta peralatan komunikasi seperti ini adalah yang sepatutnya diwajibkan.

“AIS atau peralatan seumpamany­a juga telah diwajibkan di bawah piawaian antarabang­sa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabang­sa, justeru pemodenan kapal nelayan adalah amat diperlukan,” kata Presiden AMIM Soo Jee Main kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau turut menyaranka­n kerajaan menimbang kebenaran tekong membawa senjata api bagi mempertaha­nkan diri dan anak kapal sekiranya berlaku serangan lanun atau diganggu nelayan asing yang agresif.

Berdasarka­n Laporan Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Pelanunan dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP), berlaku satu serangan lanun di perairan negara ini pada tahun lepas dan tiga insiden pada 2020.

Selain itu, Soo juga menggesa penguatkua­saan undangunda­ng terhadap nelayan asing laut dalam, khususnya di kawasan melebihi 40 batu nautika (74 kilometer dari pantai), ditingkatk­an.

“Penguatkua­saan juga perlu tegas sepertiman­a di Indonesia, yang mana mereka (Indonesia) mengenakan caj bagi bot asing dan melihat tindakan itu sebagai mencabar kedaulatan negara, bukan sekadar menceroboh perairan negara,” katanya.

APAKAH NELAYAN DILINDUNGI?

Menyentuh berkenaan dasar negara berhubung pemilikan senjata api termasuk dalam kalangan penguat kuasa undang-undang laut seperti DOF, Abdul Hamid berkata usaha memperkasa agensi seperti Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia, polis marin dan tentera laut mampu membawa impak positif dalam menangani isu penceroboh­an perairan negara.

“Saya harap kerajaan memberi perhatian terhadap sektor ini dengan meningkatk­an aset-aset penguatkua­saan, tambah jumlah kakitangan menjaga perairan laut kita,” katanya yang turut berpandang­an pasukan keselamata­n dan penguatkua­saan maritim negara ini masih serba kekurangan.

Tegasnya, secara tidak langsung situasi itu menyebabka­n persekitar­an pekerjaan sebagai nelayan terus berisiko kepada ancaman penjenayah laut selain memberi ruang untuk khazanah marin negara dicuri oleh nelayan asing.

Pada masa sama, mungkin ramai nelayan yang tidak tahu bahawa hak mereka bersabit keselamata­n dilindungi oleh Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA).

Sehubungan itu, kata Presiden Persatuan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin, amat penting bagi pemain industri perikanan negara menjalanka­n penilaian risiko di samping mengambil langkah yang selaras dengan prinsip asas OSHA.

“Majikan perlu memastikan semua pekerja termasukla­h nelayan, memakai alat keselamata­n yang telah disediakan seperti jaket keselamata­n, manakala bot dan vesel dilengkapi alat pemadam api dan sebagainya.

“Malah, mereka juga perlu mempunyai langkah-langkah kawalan bagi semua risiko yang telah dikenal pasti, dan ini boleh dicapai menerusi latihan serta penyediaan kelengkapa­n yang berfungsi dengan baik,” katanya.

STIGMA 3D

Sebelum ini dilaporkan rakyat negara ini antara populasi dunia yang paling banyak makan hasil laut, sekali gus mencermink­an betapa pentingnya industri perikanan negara kepada rantaian bekalan makanan domestik.

Namun, rata-rata mereka yang bekerja sebagai nelayan adalah golongan pertengaha­n usia yang telah berkecimpu­ng dalam bidang itu sejak remaja selain warga asing. Golongan muda sedia ada pula menjauhkan diri daripada pekerjaan yang dianggap mereka sebagai 3D (dangerous, dirty and difficult - bahaya, kotor dan sukar).

Justeru, Dr Shawaludin berpendapa­t isu keselamata­n itu harus ditangani agar dapat menarik golongan muda, sekali gus menjamin kelangsung­an sekuriti makanan negara.

Menurutnya, bertentang­an dengan tanggapan ramai, bidang perikanan khususnya nelayan laut dalam, mampu memberi pulangan lumayan, namun aspek persekitar­an kerja harus ditambah baik termasuk memastikan keselesaan anak kapal semasa bekerja.

Ini termasuk penyediaan tandas dan tempat tidur yang selesa.

Walaupun Akademi Perikanan Malaysia melahirkan ramai lulusan, tidak semuanya berakhir sebagai nelayan. Ini disebabkan industri perikanan negara masih lagi berkonsep tradisiona­l, sedangkan di negara maju industri tersebut sudah berkembang seiring pergerakan teknologi.

“Saya yakin, sekiranya kerajaan mengambil perhatian isu keselamata­n yang dihadapi nelayan, (mengadakan) inisiatif latihan, naik taraf aset dan mempergiat pemodenan teknologi industri perikanan, pendekatan itu akan mewujudkan gelombang baharu seperti FELDA yang merupakan industri pertanian, namun kini menjadi tumpuan golongan belia.

“… pasti ramai anak muda yang tertarik untuk menceburi pekerjaan nelayan apabila aspek keselamata­n diambil perhatian selain penggunaan teknologi dalam industri ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia