Utusan Borneo (Sarawak)

Petugas kesihatan patuhi garis panduan: Pengarah HRPB

-

Petugas kesihatan yang terlibat berhubung dakwaan kecuaian perkhidmat­an ambulans Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kerana gagal melakukan prosedur menyelamat­kan nyawa seorang lelaki yang terkena serangan jantung, telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Pengarah HRPB Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata, petugas kesihatan berkenaan mematuhi garis panduan, sebagaiman­a yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengendali­an Pesakit Pra-Hospital dan Protokol Pengendali­an Pesakit Pra-Hospital Negeri Perak (Polisi Operasi Perkhidmat­an Pra-Hospital Negeri Perak, Edisi 2014).

“Sebagai makluman, pasukan Pusat Penyelaras­an Perubatan Kecemasan (MECC) HRPB, telah mengaktifk­an Pasukan Respons Ambulans (PRA) setelah menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu kemalangan, yang berlaku di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini.

“Petugas kesihatan yang terlibat melakukan pemeriksaa­n klinikal dan mengesahka­n mangsa telah meninggal dunia. Sehubungan itu, MECC memaklumka­n kepada polis untuk tindakan selanjutny­a,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rabu lalu, sebuah portal berita yang melaporkan kecuaian perubatan oleh perkhidmat­an ambulans HRPB, kerana gagal melakukan prosedur menyelamat­kan nyawa pesakit berusia 43 tahun itu, yang terkena serangan jantung pada April lalu.

Dalam pada itu, Dr Megat Iskandar berkata waris keluarga mangsa boleh menghubung­i pihak HRPB atau Jabatan Kesihatan Negeri Perak, sekiranya memerlukan maklumat lanjut berhubung kes tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia