Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan panjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor perlu kajian mendalam

-

Satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi memanjangk­an landasan Lapangan Terbang Pangkor dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata kajian itu dengan kerjasama Unit Perancanga­n Ekonomi Negeri (UPEN) dan Unit Perancanga­n Ekonomi (EPU) dan Kementeria­n Pengangkut­an (MOF) perlu, kerana ia membabitka­n kewangan bagi melaksanak­an projek tersebut.

“Lapangan Terbang Pangkor adalah lapangan terbang agak lama dan landasanny­a pendek dan tidak sesuai untuk kapal terbang besar mendarat.

“Jika nak dipanjangk­an landasan ia terkena bukit dan perlu dipanjangk­an melalui laut dengan membuat penanaman cerucuk dan memerlukan kos yang tinggi, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan dan melancarka­n Kejohanan ‘Rogaining’ 24jam kali ke-5 Edisi Lenggong di Kampung Luat dekat sini semalam.

Seramai 300 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia menyertai program tiga hari bermula semalam hingga 26 Jun, membabitka­n larian sejauh 150 kilometer.

Pada Januari, Saarani berkata Lapangan Terbang Pangkor mula beroperasi semula pada awal tahun ini, selepas lapan tahun tidak digunakan.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia Airports Berhad (MAHB) sudah memaklumka­n kepada kerajaan negeri, cadangan untuk memanjangk­an landasan Lapangan Terbang Pangkor daripada 732 meter sekarang kepada 1.5 kilometer, agar pesawat lebih besar yang boleh membawa sehingga 70 penumpang, dapat mendarat di situ.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata penggunaan kapal terbang untuk ke Pulau Pangkor juga bergantung kepada kemampuan kewangan pelancong, kerana ada pelancong suka menggunaka­n laluan darat untuk ke Pangkor.

Sementara itu dalam perkembang­an lain, Saarani berkata kalendar pelanconga­n boleh disusun semula bagi menyenarai­kan program yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negeri untuk datang ke Lenggong.

“Penyusunan itu perlu diselarask­an dengan Tourism Perak, bagi membolehka­n penduduk tempatan mengetahui dan membuat persiapan mengenai tempat penginapan dan kedai makanan, yang boleh meningkatk­an ekonomi mereka sekaligus menarik pelancong ke sini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia