Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan kes rasuah Abd Latif Bandi ditunda 7 Ogos

-

JOHOR

Mahkamah Sesyen di sini, semalam menangguhk­an keputusan kes dihadapi bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta ke 7 Ogos ini.

Hakim Kamarudin Kamsun dijadualka­n menyampaik­an keputusan di akhir kes pembelaan semalam, bagaimanap­un beliau berkata masih terdapat beberapa hujahan daripada pihakpihak terbabit yang belum diterima.

“Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

“Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu,” katanya.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili

Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, kemudianny­a memohon mahkamah untuk mendengar hujahan daripada pihak pembelaan.

Prosiding turut mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang dikendalik­an Timbalan Pengarah I Bahagian Perundanga­n dan Pendakwaan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddi­n Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat.

Selain Salehuddin, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala perunding hartanah Amir Shariffudd­in Abd Raub, 49, diwakili Khairulazw­ad Sariman.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffudd­in didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitka­n pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaska­n ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktika­n kes prima facie.

Bagaimanap­un, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahka­n bekas Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusann­ya itu.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitka­n rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia