Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki curi barang majikan dipenjara

-

Seorang lelaki yang berasa tertipu lalu bertindak mencuri barangan kepunyaan majikannya sendiri telah dijatuhi hukuman penjara tiga minggu dan denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuas­akan mulai tarikh tangkapan pada 21 Jun lalu.

Yau Yong Kin, 25, dari Kuala Lumpur, telah didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada 21 Jun lalu, seorang peniaga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan beberapa barangan dari kedainya.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 9.30 pagi hari sama, semasa sampai di kedainya yang terletak di Jalan Acacia di sini untuk memulakan perniagaan, beliau mendapati pintu kedainya telah dirosakkan.

Pengadu yang kemudian membuat pemeriksaa­n di dalam kedai mendapati keadaan berselerak­an dan beberapa barang seperti sebuah komputer riba, sebuah periuk elektrik dan wang tunai RM310 telah hilang.

Kerugian dianggarka­n bernilai RM2,879.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.15 tengah hari, 21 Jun lalu, di sebuah hotel bajet di Jalan Lee Tak di sini, polis berjaya menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringanka­n memandangk­an ini adalah kesalahan pertamanya.

Tambahan dia merupakan ketua keluarga perlu menyara ibunya yang sedang sakit serta tidak mempunyai adik beradik yang lain.

Menurut tertuduh, dia bertindak demikian kerana berasa ditipu kerana tidak dibayar gaji penuh oleh majikan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Syahrizan Taha di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia