Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda tak mengaku salah pukul punggung wanita warga asing

-

Seorang pemuda tempatan mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang wanita warga Amerika Syarikat pada minggu lalu, dengan cara memukul punggung mangsa.

Tertuduh, Chua Aik Khin, 25, yang bekerja di kedai runcit membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan terhadapny­a mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintah­kan tertuduh yang diwakili peguam Lim Lian Kee dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes pada 8 Ogos depan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang mangsa wanita berusia dalam lingkungan 40-an dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukann­ya dalam satu kejadian pada 22 Jun lalu, sekitar jam 7.45 malam di kawasan tangga sebuah inap desa di Jalan Bukit Mata di sini.

Difahamkan, mangsa bersama rakannya sedang berjalan menuju ke bilik penginapan­nya sebelum tertuduh yang berjalan di belakang mereka tiba-tiba memukul mangsa dengan kuat di bahagian punggung sehingga menyebabka­n mangsa menjerit.

Tertuduh seterusnya melarikan diri namun dikatakan berjaya dikejar serta ditahan oleh dua lelaki menunggang motosikal yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia