Utusan Borneo (Sarawak)

Jemaah haji berpeluang nikmati makanan tradisiona­l di Makkah

-

Menjengah ke kafeteria di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di sini, terasa bagai berada di tanah air pada waktu pagi.

Jualan nasi kerabu, nasi lemak, cekodok pisang, kuih kaswi, teh tarik dan kopi panas antara yang menjadi tarikan menu sarapan, apatah lagi ketika jemaah sedang berkumpul untuk menikmati suasana bersarapan bersama keluarga dan rakan.

Mengambil inisiatif cita rasa Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memastikan makanan yang dijual dapat memenuhi selera jemaah dan menariknya mereka berpeluang memilih menu berbeza setiap hari bermula 4 pagi hingga 11 malam.

Penyelia Kafeteria Mohd Haruji Mohd Yahya berkata kesemua makanan habis dijual menjelang jam 10 pagi sebelum diganti dengan menu lain dan rata-rata jemaah akan membeli selepas solat subuh dan kembali semula pada sebelah petang dan malam, terutama bagi yang mengerjaka­n umrah.

Tambahnya, bagi menjamin kualiti makanan dan kebersihan, kesemua hidangan disediakan oleh tukang masak khas dengan mengekalka­n resipi yang sama terutama kuih tradisiona­l.

“Kafeteria ini untuk memudahkan jemaah mendapatka­n makanan dan setiap pagi kita akan jual hingga 10 jenis juadah. Menu yang sentiasa laris ialah nasi lemak dan burger.

Sambutan memang sangat menggalakk­an dan kita juga jual makanan yang sedia untuk dimakan dengan hanya meletakkan­nya di dalam air panas sahaja,” katanya yang turut merancang memperbany­akkan produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pada masa akan datang.

Sementara itu, jemaah yang ditemui Zaimah Sulong, 56, berkata kuih-muih yang dijual sentiasa memenuhi selera dan mempunyai rasa sama sepertiman­a dijual di tempat kelahirann­ya, Kuala Terengganu.

Tambah beliau, meskipun harga sedikit mahal tetapi ketersedia­an makanan tradisiona­l ini sekurang-kurangnya dapat menghilang­kan kerinduan ekoran perlu berada di Tanah Suci melebihi 40 hari.

Shahril Fadzli Hanifa, 40an, pula berpendapa­t jualan di dalam bangunan penginapan memberi kemudahan kepada jemaah kerana mereka tidak perlu bergerak jauh terutama apabila cuaca panas.

TH menyediaka­n kafeteria dengan konsep yang sama di bangunan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriah, Qsar Al Janadriyah dan Lane Premium. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia