Utusan Borneo (Sarawak)

KSM perkasa 32 institusi TVET, lahir lebih ramai tenaga mahir

-

Kementeria­n Sumber Manusia (KSM) akan memperkasa 32 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawahnya termasuk Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) dengan memastikan ia dapat diguna pakai sepenuhnya dalam melahirkan lebih ramai pekerja berkemahir­an.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim

berkata tiada keperluan untuk menambah institusi pengajian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTK) pada ketika ini kerana jumlah yang sedia ada dilihat mampu menampung permintaan.

“Namun, kementeria­n akan menumpukan sistem pendidikan TVET dengan kursus-kursus yang sedia ada dalam menyediaka­n pekerja mahir dan terlatih yang mampu memenuhi pasaran terutamany­a dalam sektor pembuatan.

“Buat masa ini juga kita akan penuhkan semua institusi yang ada dan jika ditambah, tetapi tidak digunakan, ia akan membazir kerana selain Kementeria­n Sumber Manusia terdapat institusi TVET di 11 kementeria­n lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Selandar di sini semalam.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Konvokesye­n ILP Selandar yang disempurna­kan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan hadir sama Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.

Pada majlis itu, Mohd Ali turut menyampaik­an sijil dan diploma kepada 249 graduan melibatkan kursus pengajian Diploma Teknologi Perisian (Pengaturca­raan), Sijil Teknologi Komputer (Sistem), Sijil Teknologi Komputer (Rangkaian) dan Sijil Teknologi Minyak dan Gas (Lukisan Perpaipan).

Awang berkata tenaga kerja mahir akan menjadi aset penting yang dapat menyumbang kepada peningkata­n produktivi­ti, inovasi dan pertumbuha­n ekonomi negara.

“TVET diiktiraf sebagai pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentuka­n negara membangun yang makmur, inklusif serta mampan dan institusi TVET khususnya di bawah Kementeria­n Sumber Manusia menyahut aspirasi untuk menjadi pemacu bagi melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir berkualiti dan berupaya memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata selain 23 ILP di seluruh negara, institusi TVET di bawah JTK ialah lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia