Utusan Borneo (Sarawak)

23 warga Taiwan ahli sindiket tipu beli barang dalam talian ditahan

-

Polis menumpaska­n sindiket penipuan belian barang dalam talian didalangi warga asing selepas menahan 23 warga Taiwan dalam serbuan di sebuah banglo mewah di kawasan Batu Feringghi, dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri menyerbu banglo mewah tiga tingkat itu pada 6.30 petang hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lepas.

“Semasa serbuan di banglo itu, berlaku kesukaran untuk pihak polis masuk ke rumah tersebut kerana ia dilengkapi dengan sistem keselamata­n yang ketat dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya masuk ke premis tersebut.

“Terdapat seramai 17 lelaki dan enam wanita yang kesemuanya warga Taiwan berusia 19 hingga 48 tahun di dalam banglo itu dan berdasarka­n siasatan awal mereka merupakan pekerja kepada sindiket tersebut dan masuk ke Malaysia secara sah bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya berdasarka­n siasatan, sindiket itu beroperasi di rumah banglo tersebut sejak Mei lepas dan modus operandi mereka ialah mengiklank­an barangan berjenama seperti beg tangan, pakaian dan jam tangan yang dijual secara dalam talian dengan harga murah kepada warga Taiwan.

Mohd Shuhaily berkata mangsa yang terperdaya dengan iklan tersebut akan diarahkan untuk membuat pembayaran melalui platform daripada pautan yang diberikan oleh sindiket namun selepas pembayaran dibuat barangan tidak dihantar kepada pembeli.

Katanya siasatan awal juga mendapati tiada akaun bank tempatan terlibat dalam urusan transaksi sindiket itu dan semua yang ditahan itu turut mendakwa mereka terpengaru­h dengan tawaran gaji lumayan diiklan sindiket menerusi media sosial di Taiwan iaitu bermula RM7,000 sebulan namun hanya dibayar RM5,000 sahaja.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 46 telefon bimbit, 14 unit komputer riba, 12 keping kad prabayar, iPad (lapan unit), walkie talkie (enam unit), Wi-fi mudah alih dan Wi-fi router yang kesemuanya dipercayai digunakan bagi tujuan kegiatan penipuan tersebut.

Mohd Shuhaily berkata semua warga Taiwan itu kini direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata polis telah merekodkan keterangan penganjur dan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpuna­n haram turunkan harga barang di bulatan Seberang Jaya, di sini pada jam 5 petang Jumaat lepas.

Katanya berdasarka­n siasatan seramai 30 orang menghadiri perhimpuna­n aman yang dijalankan tanpa permit polis yang berakhir kira-kira sejam.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai. Tindakan kumpulan itu mengadakan perhimpuna­n di kawasan bulatan tersebut juga bukan sahaja berbahaya kepada mereka malah penguna jalan lain kerana di situ selalu sesak dengan kenderaan,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? HASIL RAMPASAN: Mohd Shuhaily (dua, kanan) diberi penerangan oleh pegawai polis Nasrul Haqim Abdul Rahim (dua, kiri) mengenai peralatan yang dirampas daripada sindiket yang menjalanka­n aktiviti tipu belian barang atas talian dan menahan 23 suspek warganegar­a Taiwan berumur antara 19 hingga 48 tahun di sebuah premis di Batu Ferringhi pada 22 Jun lepas.
— Gambar Bernama HASIL RAMPASAN: Mohd Shuhaily (dua, kanan) diberi penerangan oleh pegawai polis Nasrul Haqim Abdul Rahim (dua, kiri) mengenai peralatan yang dirampas daripada sindiket yang menjalanka­n aktiviti tipu belian barang atas talian dan menahan 23 suspek warganegar­a Taiwan berumur antara 19 hingga 48 tahun di sebuah premis di Batu Ferringhi pada 22 Jun lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia