Utusan Borneo (Sarawak)

PBB tunggu kelulusan ROS tubuh sayap Pergerakan Belia

-

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan sayap Pergerakan Belia baharu mereka.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata, parti itu menyerahka­n kepada ROS untuk memproses permohonan mereka.

“Pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) PBB lalu, kita telah meluluskan penubuhan sayap itu yang dianggotai ahli berusia 18 hingga 28 tahun.

“Tetapi sebelum itu, kami telah mengumpulk­an kumpulan nama mereka yang telah menunjukka­n minat untuk mendaftar dan menyertai (sayap baharu) parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita kelmarin selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Terbuka Belia di Matang Jaya di sini.

Fazzrudin yang merupakan timbalan pengerusi jawatankua­sa penubuhan sayap baharu itu menjangkak­an semua cawangan PBB di seluruh negeri akan membentuk sebuah sayap di peringkat cawangan selepas kelulusan ROS.

Ditanya mengenai jumlah pemohon yang memohon menyertai sayap baharu itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, bagi kawasan pilihan rayanya, terdapat lebih 1,000 belia yang telah mendaftar.

“Saya tidak mempunyai angka tepat di seluruh negeri, tetapi untuk Tupong, saya diberitahu bahawa terdapat lebih 1,000 pemohon,” katanya.

Sementara itu mengenai harapannya terhadap sayap baharu itu, Fazzrudin berkata sebagai sebuah parti politik, sayap baharu itu akan menerapkan pengetahua­n politik yang diperlukan kepada golongan muda.

“Ia juga akan memasukkan nilai-nilai politik dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada pembanguna­n masyarakat,” katanya.

Dari segi aktiviti, beliau berkata memandangk­an perbezaan umur anggota sayap baharu itu berbanding sayap lain dalam PBB, beliau menjangka sayap baharu itu bakal menganjurk­an aktiviti yang memenuhi bidang tertentu.

Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu beliau juga dipetik berkata kerajaan negeri telah menyediaka­n ekosistem di mana golongan belia boleh maju.

“Premier Sarawak telah menegaskan perkara ini, supaya ada kesinambun­gan kepimpinan pada masa depan.

“Kami mahu melatih belia supaya apabila tiba masanya untuk mereka memikul kepimpinan dan menjadi pemimpin maka mereka sudah memiliki pengetahua­n dan pengalaman yang diperlukan,” katanya.

 ?? ?? MENARIK: Fazzrudin (dua kiri) melihat deretan skuter yang dipamerkan pada majlis itu.
MENARIK: Fazzrudin (dua kiri) melihat deretan skuter yang dipamerkan pada majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia