Utusan Borneo (Sarawak)

Keldai akaun didenda RM500

-

SIBU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhka­n hukuman denda RM500 atau penjara tujuh hari terhadap seorang lelaki yang mana akaun banknya digunakan untuk penipuan pelaburan dalam talian.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Zainal, 25, dari Taman Beringin, Jinjang, Kuala Lumpur dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, Syafiq didakwa memiliki wang secara salah sebanyak RM538 pada 16 Ogos 2021, kira-kira jam 4.15 petang di sebuah rumah di Ulu

Sungai Merah.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda RM500.

Berdasarka­n fakta kes, pada 12 Ogos 2021, semasa pengadu berada di rumahnya di Ulu Sungai Merah telah ternampak laman Facebook yang menawarkan pekerjaan separuh dan sepenuh masa.

Pengadu yang berminat kemudian menghantar nama melalui WhatsApp dan keesokan harinya diberi tugas untuk membuat bayaran sebanyak RM89.

Dia kemudian membuat bayaran ke dalam akaun milik seorang wanita, sebelum menerima balik bayaran RM91 berserta komisen lima peratus.

Pada 16 Ogos 2021, pengadu menerima satu lagi tugas dengan bayaran sebanyak RM538 bagi dua unit vakum dan membuat bayaran ke dalam akaun milik tertuduh.

Namun pengadu berasa tertipu setelah tidak menerima komisen bagi dua transaksi tersebut.

Siasatan dengan pihak bank mendapati akaun tersebut adalah milik tertuduh.

Syafiq dibenarkan bebas setelah membayar dendanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia