Utusan Borneo (Sarawak)

Sahabat maktab bantu jemaah haji, sanggup berkhidmat 24 jam

-

MAKKAH: Keinginan dan kesediaan untuk membantu orang lain mendorong 175 jemaah haji menyertai program Sahabat Maktab anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata meskipun perlu berkorban masa dan tenaga, kesemua mereka bertekad menyantuni Tetamu Allah dengan sebaiknya sepertiman­a yang dilakukan petugas TH sepanjang musim haji kali ini.

Katanya, setiap maktab atau penginapan jemaah hanya mempunyai lapan petugas TH dan gabungan antara Sahabat Maktab mampu memastikan kebajikan serta pergerakan jemaah akan lebih teratur terutama ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Seramai 35 sukarelawa­n Sahabat Maktab dipilih bagi setiap maktab (penginapan jemaah). Kita ada kesemuanya lima maktab jadi keseluruha­nnya seramai175 orang. Dalam kalangan mereka ini ada juga dipanggil sebagai Sahabat Medic dan Sahabat Ibadah.

Mereka mempunyai latar belakang perubatan serta agama. Keadaan ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina akan memerlukan tenaga yang ramai dalam menguruska­n pergerakan jemaah serta memasuki khemah-khemah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sahabat Maktab dan perjumpaan bersama jemaah haji di hotel Land Premium, di sini.

Menurut Syed Saleh, individu yang menjadi sukarelawa­n program itu dipilih berdasarka­n kategori tertentu termasuk muda, bertenaga, sihat dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.

Ketika ditanya sama ada penyertaan akan ditambah pada masa terdekat, beliau berkata jumlah tersebut sudah memadai dengan kuantiti jemaah yang ada.

“Pada ketika pergerakan pada Hari Wukuf akan ada jemaah yang turut membantu antara sama lain. Kita terpaksa hadkan walaupun ramai lagi yang ingin tampil ke depan untuk bersama Sahabat Maktab,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawa­n Nurul Husna Miskandar @ Nasiruddin, 23, berkata beliau mendaftar secepat mungkin selepas mengetahui program itu dibuka dan peluang membantu jemaah akan dimanfaatk­an sebaiknya untuk mengutip pengalaman.

Nurul Husna yang merupakan penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berkata sahabat Maktab adalah kesinambun­gan dari program kebajikan yang pernah dilakukann­ya ketika di Tanah air dan beliau bersedia berkhidmat dalam tempoh 24 jam, jika diperlukan TH.

Selain itu, Dr Syarul Azman Shaharuddi­n, 47, berkata beliau ditugaskan untuk memberi bimbingan berkaitan ibadah kepada jemaah namun masih mengekalka­n prinsip untuk merujuk kepada petugas agar tidak berlaku pertindiha­n maklumat.

“Meskipun ada pengalaman... tidaklah kita tahu semuanya tetapi kita boleh menjadi penyambung antara jemaah dan petugas bimbingan haji sedia ada. Dengan cara begitu Insya-Allah akan membolehka­n ibadah dapat disempurna­kan,” katanya yang merupakan pensyarah dalam bidang dakwah di Kolej Universiti Islam Antarabang­sa Selangor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia