Utusan Borneo (Sarawak)

Siasatan EXCO Kedah didakwa terlibat penyelewen­gan dana di peringkat akhir

-

ALOR SETAR: Siasatan berhubung dakwaan penyelewen­gan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah kini di peringkat akhir.

Pengarah Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata pihaknya kini di peringkat akhir mengumpul segala fail berkaitan sebelum mengemukak­annya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kita akan kemukakan kepada TPR untuk peroleh keputusan dan tindakan apa yang sesuai dikenakan berhubung kes ini. Ada banyak tindakan yang SPRM boleh cadangkan kepada TPR, kalau positif kita dakwa tetapi kalau negatif kita akan lihat bagaimana.

“Setakat ini, Exco berkaitan yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan masih belum dipanggil untuk memberi keterangan tetapi kita akan panggil dalam masa terdekat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembang­an kes berkenaan.

Pada 17 Jun lepas, dalam laporan media Shaharom Nizam mengesahka­n pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan penyelewen­gan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

Katanya berdasarka­n maklumat diperoleh, pihaknya mengambil inisiatif menjalanka­n siasatan awal bagi mengesahka­n sama ada terdapat isu pelanggara­n undangunda­ng berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

Terdahulu, beliau merasmikan pelepasan program ‘Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah’ yang berlangsun­g selama tiga hari dua malam di lima daerah iaitu Padang Terap, Sik, Kulim, Baling dan Kuala Muda yang disertai kira-kira 100 orang peserta.

“Objektif program ini adalah untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar menolak rasuah dan melaporkan perkara itu kepada SPRM, mendedahka­n peranan dan fungsi SPRM serta menyalurka­n maklumat kepada orang ramai agar tidak sesekali menawar dan menerima rasuah.

“Kita berharap melalui program ini dapat meningkatk­an integriti dalam diri masyarakat untuk memerangi rasuah serta dapat menjalinka­n kerjasama erat dan padu antara SPRM dan masyarakat,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SANTAI: Shaharom (depan) menunggang motosikal bersama peserta-peserta konvoi pada Majlis Pelepasan ‘Kedah Free Corruption Rides 2022’ di Pejabat SPRM Kedah, dekat Alor Setar semalam.
— Gambar Bernama SANTAI: Shaharom (depan) menunggang motosikal bersama peserta-peserta konvoi pada Majlis Pelepasan ‘Kedah Free Corruption Rides 2022’ di Pejabat SPRM Kedah, dekat Alor Setar semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia