Utusan Borneo (Sarawak)

Dua beradik kudung angkara perang Syria, berharap dapat kembali ke Aleppo

-

GAZIANTEP (Turkiye): “Perang “merompak” zaman kanak-kanak saya. Saya harap perang berakhir, supaya saya dan keluarga dapat pulang ke kampung halaman kami di Aleppo. Kami merindui keluarga.”

Demikian luah seorang remaja berusia 15 tahun, Majeda Mohammad Ali Umar yang kehilangan kaki kanannya selepas satu tong bahan letupan dijatuhkan di rumah mereka di Aleppo, Syria, lapan tahun lepas.

Turut menimpa nasib serupa ialah kakak sulungnya, Maryam, 21, yang kehilangan kaki kirinya dalam kejadian yang turut mencederak­an adik bongsu mereka, yang ketika itu baru berusia tiga tahun.

“Apabila berlaku pengeboman, kami lantas berlari ke arah kereta. Tiba-tiba, satu tong bahan letupan dijatuhkan di sebelah kereta itu, mengakibat­kan Majeda kehilangan kakinya manakala saya pula kehilangan kaki ketika dirawat di hospital.

“Adik lelaki saya ketika itu masih kecil, tetapi Alhamdulil­lah tidak banyak kecederaan,” kata Maryam dalam bahasa Arab yang diterjemah­kan oleh Pengurus Program Persatuan Wanita Syria (SWA) Nada Farra ketika ditemui di rumahnya di Karshiyaka, di sini, pada Isnin.

Pada awalnya, dua beradik itu kelihatan agak bimbang dan keberatan untuk gambar atau video mereka dirakam, namun selepas diyakinkan bahawa tiada gambar wajah mereka akan ditunjukka­n kepada umum, mereka bersetuju.

Kedua-duanya telah menggunaka­n kaki palsu atas lutut dengan bantuan daripada Rose2Rose, sebuah agensi yang memperkasa­kan wanita dan kanak-kanak di bawah Humanitari­an Care Malaysia Bhd MyCARE), melalui SWA.

“Saya kini, tidak boleh pergi ke sekolah setiap hari kerana saya masih menderita akibat kecederaan yang lepas. Kaki palsu saya ni pula semakin kecil dan memerlukan (kaki palsu) yang baharu. Begitu juga dengan Majeda.

“Jika kita dapat kaki baharu, kita boleh pergi ke sekolah setiap hari,” kata Maryam dengan penuh harapan dan beliau kini mempelajar­i bahasa Turki sebelum melanjutka­n pelajaran ke universiti.

Majeda, yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, merupakan pelajar terbaik dalam kelasnya dan dia kini belajar di sekolah menengah manakala Maryam mahu melanjutka­n pelajaran dalam bidang Pendidikan awal kanakkanak dan Pengurusan Kesihatan.

“Ayah dan ibu serta rakan-rakan banyak memberi sokongan kepada kami. Kami mahu melupakan dan menjadikan ia kenangan agar dapat kami meneruskan kehidupan,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam Mohd Zin yang merupakan sebahagian daripada 10 anggota misi kemanusiaa­n MyCARE-Econsave ke Syria, yang turut melibatkan penyertaan lima pengamal media.

Sementara itu, Ketua

Pegawai Ekskutif SWA Lubaba Tayfour berkata beribu-ribu wanita dan kanak-kanak warga Syria dibantu melalui pelbagai program termasuk program pemerkasaa­n yang dapat membantu dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata Rose2Rose adalah antara badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa bekerjasam­a dengan mereka sejak 2015.

“Mereka telah bekerja secara ikhlas dan konsisten dengan kami selama ini dan kami amat menghargai­nya,” kata Lubaba.

Sejak konflik di Syria semakin memuncak pada 2011, lebih 4.5 juta pelarian dan Orang Pelarian Dalaman (IDP) dilaporkan mendiami kem-kem pelarian di Jarabulus, Azaz dan Al Bab (di Syria) serta di selatan Turkiye. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia