Utusan Borneo (Sarawak)

Tiang bendera tertinggi projek swasta, kerajaan negeri tidak terlibat pembiayaan: Abang Johari

-

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan kerajaan negeri tidak terlibat dalam pembiayaan projek pembinaan tiang bendera tertinggi negara yang terletak di Petra Jaya dekat sini.

Menurutnya, projek yang dianggarka­n kira-kira RM30 juta itu dibiayai syarikat swasta sebagai sumbangan mereka bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia pada tahun ini.

“Pembinaan tiang bendera itu adalah projek syarikat swasta. Kita (kerajaan negeri) hanya mengenal pasti tapak untuk projek ini.

“Ia dibangunka­n (oleh syarikat swasta terbabit) sebagai meraikan ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada pemberita mengenai projek berkenaan pada sidang media di Dewan Sri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Pada Sabtu lalu, Pejabat Premier Sarawak menerusi kenyataan akhbar menjelaska­n projek pembinaan tiang bendera tertinggi akan dibiayai oleh sektor swasta.

“Pejabat ini (Pejabat Premier Sarawak) ingin menjelaska­n, projek ini dibiayai sektor swasta sebagai sumbangan CSR (tanggungja­wab korporat sosial), sempena ulang tahun ke-60 Sarawak sebagai sebahagian daripada penubuhan Malaysia.

“Projek ini, seharusnya merangkumi pembinaan tapak yang telah ditetapkan serta kawasan sekitarnya. Ia tiada kaitan dengan isu MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” jelas kenyataan itu.

Ia menambah, projek itu akan menjadi salah satu infrastruk­tur pelanconga­n di Kuching serta untuk menunjukka­n kesetiaan kepada Sarawak.

“Diharap, ia akan menjadi aspirasi kepada semua rakyat Sarawak untuk berkhidmat kepada Sarawak,” tambahnya.

Pada Jumaat lalu, sumber memaklumka­n The Borneo Post tiang bendera yang dicadangka­n itu setinggi 99 meter, empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi negara yang terletak di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Projek itu dijangka bernilai kira-kira RM30 juta.

“Tiang bendera itu akan dibina dekat dengan The Tea House atau Kubu Margherita di sini (dalam kawasan Kompleks Dewan Undangan Negeri),” demikian menurut sumber itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia