Ambil semula Pelabuhan Bintulu, MIPD ketuai perbincangan dengan MOT
Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) telah ditugaskan untuk mengetuai perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya berhubung hasrat negeri untuk mengambil semula Pelabuhan Bintulu.
Pelabuhan itu ketika ini pelabuhan persekutuan di bawah MOT.
Menteri MIPD Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Abang Johari Tun Openg memberi arahan itu semasa mesyuarat bulanan kabinet negeri kelmarin.
“Abg Jo (Abang Johari) pernah berkata beliau hanya mahu satu pelabuhan di Bintulu,” katanya berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 kementerian di sini, malam kelmarin.
“Ini bukan tugas kecil. Sekarang kita juga ada Pelabuhan Samalaju di sana.
“Kita perlu melihat kepada Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961. Kami berharap dapat membentangkan rang undang-undang pada persidangan DUN menjelang akhir tahun ini,” kata Timbalan Premier itu.
Uggah berkata, kerajaan negeri mahu Pelabuhan Bintulu menjadi sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan mengikut undang-undang negeri.
Beliau menambah, satu lagi tugas besar kementerian adalah untuk menghasilkan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak.
Kajian itu katanya, bertujuan untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, keselamatan pelabuhan melalui pemasangan Vessel Traffic Management System (VTMS), kemudahan Aids to Navigation (AtoN), kren, kerja-kerja pengorekan dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Kerajaan dalam pada itu memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk kajian itu yang bermula dengan Lembaga Pelabuhan Miri, jelasnya.
Hadir sama pada majlis tesebut ialah dua timbalan menteri MIPD Dato Majang Renggie dan Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Setiausaha Tetap kementerian Chiew Chee Yaw dan Pengarah JKR Negeri Richard Tajan.