Konsert jelajah di Amerika, Eropah dari Mei hingga September
mega pop Beyonce mengumumkan rancangan untuk jelajah Eropah dan Amerika Utara akhir tahun ini, berikutan pelancaran album terbarunya ‘Renaissance’, hanya beberapa hari sebelum majlis Anugerah Grammy di mana beliau merupakan artis yang paling banyak mendapat pencalonan.
Konsert itu, ditetapkan pada Mei dan Jun di Eropah dan Julai hingga September di Amerika Syarikat dan Kanada, menandakan “jelajah solo pertama penyanyi itu dalam tempoh lebih enam tahun,” menurut satu kenyataan daripada penerbit Live Nation.
Pengumuman empat hari sebelum Grammy ke-65 di mana Beyonce telah dicalonkan untuk sembilan anugerah telah mencetuskan harapan dalam kalangan peminat bahawa Queen Bey boleh membuat penampilan di acara berprestij itu yang akan diadakan di Los Angeles pada Ahad.
Menurut Variety, wujud spekulasi bahawa dia mungkin membuat persembahan di majlis itu, mungkin bersama suaminya dan rakan bintang Jay-Z, yang dilaporkan majalah hiburan akan naik ke pentas bersama penyanyi rap dan penerbit DJ Khaled.
Anugerah Grammy pada kali ini bakal menyaksikan persaingan antara Beyonce dan diva pop Britain Adele, yang telah dicalonkan untuk tujuh anugerah.
Pengeluaran koleksi lagu kelab ‘Renaissance’, album solo ketujuh wanita berusia 41 tahun itu, diiktiraf oleh kebanyakan acara industri muzik terbesar pada tahun 2022, dan ia mengukuhkan lagi kedudukan Beyonce sebagai ratu pentas tarian.
Menurut pengumuman itu, organisasi amal artis BeyGood akan menyokong perniagaan kecil, dana biasiswa dan inisiatif komuniti tempatan di bandar-bandar sepanjang jelajah itu. Tiket untuk pertunjukan Amerika Utara akan mula dijual pada 6 Februari, melalui
Ticketmaster.