Real bangkit, membenam Valencia 2-0
Merapatkan jurang ketinggalan di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona “
MADRID: Real Madrid merapatkan kembali jurang ketinggalan di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona kepada kurang lapan mata selepas menewaskan Valencia 20 pada Khamis, hasil gol cantik Marco Asensio dan Vinicius Junior.
Dua pemain itu menjaringkan gol dalam tempoh tiga minit dalam separuh masa kedua, yang menyentak pasukan pelawat pada perlawanan di Santiago Bernabeu, dan Valencia kemudian bermain dengan 10 pemain apabila Gabriel Paulista dibuang padang ekoran terjahan keras ke atas Vinicius.
Real menguasai hampir sepanjang permainan tetapi malam yang ceria itu dicemari dengan kecederaan kapten pasukan, Karim Benzema,yang dikeluarkan dalam separuh masa kedua kerana kecederaan di bahagian paha, dan Eder Militao juga dikeluarkan kerana masalah yang sama.
Perlawanan dijangka akan diingati kerana kad merah Gabriel ketika terjahan ke atas Vinicius, yang menjaringkan gol ke-50 bersama Real pada penampilan ke-200 untuk pemain yang baharu berusia 22 tahun itu.
“Kami harus melindungi Vinicius, dia pemain yang hebat, dia gemar mengelecek dan pemain (pertahanan) lawan tidak menyukainya,” kata penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois. “Kami memerlukan kemampuan Vini. Dalam banyak perlawanan, dia kerap diasak. Saya gembira pengadil bersikap berani menyingkirkan Paulista. “Bukan hanya kerana Vini — jika kami melakukannya, maka kami juga harus dibuang padang.” Jurulatih sementara Valencia, Voro, yang mengalas tugas sementara buat kali kelapan selepas Gennaro Gattuso melepaskan jawatan dengan keputusan bersama pada Isnin, mengharungi perlawanan sukar.
Mereka berada di tangga ke-14 liga, hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan akan beraksi tanpa pemain pertahanan berpengalaman mereka, Gabriel.
“Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, ia adalah perancangan kami, tidak memberikan mereka banyak ruang tetapi dalam separuh masa kedua, ia menjadi lebih sukar bagi kami,” kata pemain Valencia, Hugo Guillamon.
“Pasukan harus mengambil
satu langkah ke hadapan. Kami perlu sokongan penyokong. Bersama-sama kita boleh melangkah ke hadapan.”
Jurulatih Real, Carlo Ancelotti menurunkan Eduardo Camavinga di posisi pertahanan kiri sekali lagi dan melakukan dua pertukaran dari skuad yang seri dengan Real Sociedad Ahad lalu, menurunkan Luka Modric dan Asensio dalam kesebelasan utama.
Kedua-dua pemain itu bergandingan seawal minit ketiga dengan Modric mengumpan bola kepada Asensio yang seharusnya dapat melakukan penyudah tetapi penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili beraksi cemerlang menepis bola.
Asensio sekali lagi dinafikan selepas umpanan cantik Benzema, sebelum Paulista kemudian bertindak pantas menghadang rembatan Benzema.
Vinicius juga melihat cubaan awalnya diselamatkan Mamardashvili sementara satu cubaan Camavinga hanya terkena luar jaring ketika
Madrid menguasai sepenuh permainan dalam separuh masa pertama.
Antonio Rudiger ada membuka jaringan buat Real pada minit akhir sebelum rehat namun gol itu tidak dibenarkan panel video bantuan pengadil (VAR) kerana kekasaran Benzema ke aas Yunus Musah sebelum gol dijaringkan.
Real meningkatkan rentak dalam separuh masa kedua dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-52 apabila Asensio merembat kencang dari hujung kotak penalti.
Dua minit kemudian, Vinicius menambah jaringan dari umpanan kemas Benzema, yang mempunyai peluang menjaringkan gol ketiga tetapi rembatannya dihadang Mouctar Diakhaby sebelum penyerang veteran itu dikeluarkan kerana kecederaan.
Penyingkiran Paulista menamatkan segala kemungkinan kebangkitan Valencia dengan Real tidak mempunyai masalah mengekalkan kedudukan sehingga ke wisel penamat.
Kami harus melindungi Vinicius, dia pemain yang hebat, dia gemar mengelecek dan pemain (pertahanan) ” lawan tidak menyukainya.