Utusan Borneo (Sarawak)

Hapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes

-

Penduduk di daerah ini diminta untuk sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah masing-masing bagi mengelak jangkitan demam denggi terus merebak.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kes demam denggi di daerah ini semakin kritikal sehingga 17 lokaliti dikenal pasti mempunyai kes kumulatif wabak.

Katanya, jumlah penduduk yang dirawat akibat demam denggi semakin bertambah dan perlunya semua pihak bekerjasam­a mencari jalan penyelesai­an.

“Saya sudah mengarahka­n Unit Pemimpin Pembanguna­n Masyarakat (UPPM) dan pemimpin akar umbi kawasan Apas untuk sentiasa memberi peringatan kepada penduduk untuk melupuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Namun, penduduk sendiri perlu berusaha untuk menjaga kawasan rumah mereka supaya memastikan sentiasa bersih dan tiada tempat air bertakung,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam program gotong-royong di Taman Tawau Lama, di sini semalam.

Menurutnya, Taman Tawau Lama telah disenarai sebagai kawasan wabak denggi tidak terkawal kerana seramai 12 orang pendudukny­a dijangkiti demam denggi selama 32 hari.

“Untuk permulaan, kita laksanakan program gotongroyo­ng di kawasan ini bagi membersihk­an tempat pembiakan nyamuk aedes dan memberi kesedaran kepada penduduk di sini.

“Usaha ini perlu dilaksanak­an lebih agresif di seluruh perbandara­n Tawau sebelum banyak lagi menjadi kawasan wabak denggi tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, demam denggi bukanlah penyakit yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa maut sekiranya lambat dirawat.

“Walaupun tahun ini belum ada direkodkan kematian akibat demam denggi, tetapi langkah waspada perlu diambil sebelum ia terjadi.

“Semua penduduk juga dinasihatk­an supaya memberikan kerjasama kepada petugas Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau sekiranya mereka datang membuat pemeriksaa­n nyamuk aedes,” katanya.

Nizam menzahirka­n ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program gotongroyo­ng kali ini.

“Program ini juga akan dilaksanak­an di kawasan lain di Parlimen Tawau khususnya DUN Apas pada masa akan datang,” katanya.

 ?? ?? PERANGI AEDES: Nizam bersama semua yang terlibat dalam program gotong-royong tersebut.
PERANGI AEDES: Nizam bersama semua yang terlibat dalam program gotong-royong tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia