Utusan Borneo (Sarawak)

Maritim Malaysia rampas rokok seludup bernilai RM18,000

Turut ditahan juragan lelaki tempatan dan seorang penumpang wanita warga asing

- Oleh Hamzah Sanudin

TAWAU: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas rokok bernilai RM18,000 cuba diseludup masuk dari negara negara, di Jeti CIQ, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pasukan Maritim Malaysia turut menahan seorang lelaki dan wanita disyaki terlibat dalam aktiviti menyeludup masuk rokok berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan tersebut dibuat selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti tersebut.

Katanya, sebuah bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi mengesan dan menahan bot serta suspek yang terlibat.

“Bot penumpang terbabit dipercayai bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke daerah ini untuk membawa rokok tersebut.

“Pemeriksaa­n awal mendapati seorang juragan lelaki tempatan berumur 33 tahun bersama penumpang wanita warga asing berumur 48 tahun berada di dalam bot tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaa­n lanjut berjaya menemukan sebanyak 28,000 batang rokok keretek yang disembunyi­kan di dalam guni berisi muatan pisang dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek terbabit ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruha­n rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarka­n berjumlah RM43,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan di daerah ini.

“Aset-aset ronda sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089750116 atau MERS 999,” katanya.

 ?? ?? RAMPAS: Semua rokok keretek yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
RAMPAS: Semua rokok keretek yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia