Utusan Borneo (Sarawak)

Masyarakat perlu hormati fatwa larang umat Islam sertai ritual keagamaan bukan Islam

-

JOHOR BAHRU: Masyarakat perlu menghormat­i fatwa yang dikeluarka­n Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) baru-baru ini berhubung larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata, fatwa itu dikeluarka­n khusus buat orang Islam dan ketetapan itu perlulah dihormati.

“Ini garis panduan khusus buat orang Islam, kita di Johor dan Malaysia tidak bercanggah dengan semangat perpaduan dan bangsa Johor, kita hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kita perlu saling menghormat­i...dan ini yang kita amalkan selama ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Akuagro Rukun Tetangga Johor, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai fatwa tersebut yang dikeluarka­n oleh MAINJ kelmarin yang melarang umat Islam mengikuti perarakan Thaipusam atau mengambil bahagian dalam sambutan Pongal yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Ling berkata titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenaan perkara itu kelmarin juga sudah jelas untuk difahami semua bangsa Johor.

Kelmarin Sultan Ibrahim bertitah fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri ini tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefaham­an antara agama.

Titah baginda kepelbagai­an kaum dan agama dianuti rakyat berbilang kaum seperti di bawah konsep Bangsa Johor akan sentiasa diiktiraf dan dihormati di negeri itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia