Utusan Borneo (Sarawak)

Buli: Polis siasat sama ada wujud penglibata­n kongsi gelap

- GEORGE TOWN: — Bernama

Polis sedang menjalanka­n siasatan lanjut termasuk menyiasat sama ada terdapat penglibata­n kongsi gelap dalam kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterwort­h dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Balik Pulau dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata pihaknya sedang melengkapk­an kertas siasatan tiga kes tersebut sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutny­a.

“Mengenai kes buli di sebuah sekolah menengah dan institusi menengah bawah MARA, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bagaimanap­un kami juga menjalanka­n siasatan sama ada kes itu menjurus kepada kegiatan kongsi gelap sama ada (kongsi gelap) berada di belakang mereka (pelaku) ataupun sebaliknya.

“Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap yang terlibat dalam kes buli di sekolah-sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpuna­n Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tiga kes buli di sebuah sekolah menengah dan institusi pendidikan menengah di bawah MARA yang berlaku barubaru ini sehingga menyebabka­n penahanan 14 pelajar.

Susulan daripada penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan dua kes yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular menerusi media sosial sejak Jumaat lepas.

Media sebelum ini melaporkan kesemua remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihak polis selesai mengambil keterangan.

Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederak­an orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia