Utusan Borneo (Sarawak)

Lima ditahan kes simbah asid premis jual kenderaan

- — Bernama

Polis Pulau Pinang menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa premis menjual kenderaan terpakai disimbah cat dan asid serta pemerasan, dalam serbuan berasingan di sekitar negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, semua lelaki berusia 26 hingga 63 tahun itu ditahan secara berasingan di empat lokasi sekitar George Town, di sini dan Bayan Baru, dekat sini hasil maklumat serta risikan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.

“Susulan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek yang terlibat dan kami melancarka­n operasi sebelum berjaya menahan lima lelaki tersebut bermula jam 5.15 petang semalam (kelmarin) hingga 3.20 pagi semalam.

“Berdasarka­n siasatan awal, seorang daripada suspek yang ditahan, berusia 36 tahun, berperanan melakukan kerjakerja menyimbah asid dan cat merah di premis-premis menjual kenderaan terpakai manakala mereka yang lain mempunyai kaitan dengan dia untuk menjalanka­n jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya polis percaya dengan penahanan lima lelaki itu pihaknya berjaya menyelesai­kan sekurang-kurangnya 15 kes simbah asid dan cat merah serta pemerasan iaitu 12 kes di daerah Timur Laut dan tiga kes di daerah Barat Daya.

Khaw berkata modus operandi mereka ialah menyimbah cat atau asid di premis menjual kenderaan terpakai sebelum menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada pemiliknya untuk meminta RM10,000 bagi memeras ugut mangsa.

Katanya susulan penahanan mereka polis turut merampas empat telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memeras ugut pemilik premis menjual kenderaan terpakai tersebut.

“Berdasarka­n siasatan polis juga mendapati suspek yang menyimbah asid dan cat itu berhutang dengan along dan dia bekerja dengan along tersebut untuk melakukan jenayah tersebut (simbah asid dan cat) bagi membayar hutangnya,” katanya lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia