Utusan Borneo (Sarawak)

Balu jurukamera TV3 terima sumbangan Tabung Kasih@Hawana

-

Haslinda Ahmad, balu kepada jurukamera TV3 Allahyarha­m Rosli Abu Bakar, menerima sumbangan inisiatif Tabung Kasih@ Hawana 2023, program tanggungja­wab sosial korporat (CSR) sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang akan disambut pada 29 Mei ini.

Sumbangan daripada Kementeria­n Komunikasi dan Digital, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan AEON Big itu disampaika­n kepada Haslinda, 59, oleh Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perak, Syamsiah Sahat, kelmarin.

Turut hadir wakil Astro Awani Perak yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Abd Razak Mohd Ali, Ketua Biro Sinar Harian Perak Saifullah Ahmad dan wakil TV3 di Perak Shaharil Kadir.

Allahyarha­m Rosli, jurukamera TV3 Biro Perak meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi dan jantung di Hospital Manjung, pada 9 Mei lepas.

Haslinda ketika ditemui di kediamanny­a di Kampung Deralik, Sitiawan, di sini melahirkan rasa syukur atas ingatan serta sumbangan yang dihulurkan termasuk daripada PPMP untuk membantuny­a dan dua anak yang masih bersekolah meneruskan hidup.

Allahyarha­m Rosli berkhidmat dengan TV3 sejak 1986 dan pernah berkhidmat di Biro Pulau Pinang sebelum bertugas di Perak iaitu negeri kelahirann­ya.

Sementara itu, program Tabung Kasih@Hawana yang dilaksanak­an melalui Bernama selaku agensi pelaksana HAWANA 2023 juga menyantuni wartawan dan petugas media yang memerlukan, sama ada yang masih dalam perkhidmat­an mahupun yang telah bersara di seluruh negara.

Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalanka­n tugas mereka.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia