Utusan Borneo (Sarawak)

Dua kes tipu terbaharu di Sibu catat kerugian lebih RM800,000

Mangsa terperdaya pelaburan dalam talian tidak wujud: Zulkipli

- Oleh Michael Ubam

SIBU: Penipuan dalam talian tampak semakin berleluasa apabila dua kes terbaharu dilaporkan di sini menyebabka­n mangsanya mengalami kerugian terkumpul lebih RM800,000.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kes pertama membabitka­n seorang ahli perniagaan berusia 50 tahun di sini yang tampil membuat laporan polis, kelmarin.

Menurutnya, ahli perniagaan tersebut berhasrat untuk meraih keuntungan besar melalui pelaburan saham dalam talian, namun akhirnya mengalami kerugian lebih RM320,000.

“Berdasarka­n laporan mangsa, dia telah melihat satu iklan dalam sosial media Facebook yang menawarkan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus daripada pasaran saham pada 20 Mac lalu.

“Mangsa kemudianny­a menghantar pesanan melalui WhatsApp ke nombor yang tertera di iklan pelaburan berkenaan dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi ‘DCMA Trading’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Zulkipli berkata, mangsa telah memindahka­n sejumlah RM324,201 menerusi 11 transaksi ke tiga nombor akaun berbeza dari tempoh 18 April hingga 12 Mei.

Namun demikian katanya, mangsa mula berasa curiga dan menyedari dirinya diperdaya selepas gagal mengeluark­an keuntungan yang diperolehi, malah nombor telefonnya juga disekat.

“Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima apaapa pulangan dan keuntungan seperti yang dijanjikan,” jelasnya.

“Susulan itu, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Zulkipli berkata kes kedua menyaksika­n seorang lelaki tempatan berusia 50-an mengalami kerugian RM485,320 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial pada 23 Mei lalu menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa telah ditipu ejen saham pelaburan forex selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan yang menawarkan pelaburan forex di Hong Kong.

“Berdasarka­n laporannya, mangsa yang berminat telah membuat pelaburan awal sebanyak RM20,000 dan memuat turun aplikasi ‘Meta Traders 4’ sehingga menyebabka­nnya kerugian RM485,320.

“Mangsa telah melakukan sebanyak 109 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun berasingan sejak November 2022 hingga Mac 2023 berjumlah RM485,320 dengan tujuan memperoleh keuntungan sebanyak AS$127,000 yang dianggarka­n hampir RM533,400,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, mangsa mula curiga apabila diminta mendeposit­kan RM11,000 lagi bagi urusan ‘agent traders’ datang ke Sibu untuk berjumpa dengannya.

Apabila dia berunding dengan peguamnya, dia diberitahu bahawa dia telah ditipu.

Menurut Zulkipli, mangsa kemudian meminta pendapat peguam peribadiny­a mengenai masalahnya, namun dimaklumka­n bahawa beliau telah diperdaya.

Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di sini pada Selasa.

Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatk­an orang ramai supaya membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia bagi memastikan kesahihan pelaburan yang dibuat.

Orang ramai juga dinasihatk­an supaya tidak mudah terperdaya sekiranya dijanjikan kadar faedah pulangan yang jauh lebih tinggi daripada pulangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrime­AlertRMP @JSJKPDRM.

Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid. rmp.gov.my/semakmule.

“Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima apaapa pulangan dan keuntungan seperti yang ” dijanjikan. ACP Zulkipli Suhaili Ketua Polis Daerah Sibu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia