Utusan Borneo (Sarawak)

Gunung Sinsing, ketiga tertinggi di Malaysia

-

Jabatan Perhutanan Sabah secara rasminya telah mengukur ketinggian Gunung Sinsing di Tambunan dan mendapati ketinggian puncak gunung itu ialah 2,586 meter (m) dari aras laut, sekali gus sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan semalam memaklumka­n, pada ekspedisi barubaru ini, sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidik­an Perhutanan Sepilok bersama wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan menggunaka­n peralatan penerima data sistem satelit navigasi sejagat yang lebih tepat iaitu Stonex S900A Sistem Satelit Navigasi Sejagat (GNSS) untuk mengesahka­n ketinggian puncak gunung tersebut.

“Data ketinggian dicerap melebihi tempoh empat jam pada 10 Mei 2023. Data cerapan kemudian diproses oleh juruukur berdaftar untuk menentusah­kan ketinggian sebenar puncak Gunung Sinsing dari aras laut.

“Dengan menggunaka­n kaedah itu, didapati ketinggian puncak Gunung Sinsing ialah 2,586m (m.s.l.), sekali gus mengekalka­n statusnya sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Perhutanan Sabah, gunung yang kurang dikenali itu terletak dalam Hutan Simpan Nuluhin Trusmadi, di bawah pengurusan Pejabat Perhutanan Daerah Tambunan serta merupakan sebahagian daripada Unit Pengurusan Hutan 10 (FMU10) Projek Pengurusan Hutan Mampan.

Gunung Sinsing telah menarik perhatian orang ramai sejak 2018 apabila di uar-uarkan menerusi media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo, mengatasi Gunung Tambuyukon (2,580m) di Substesen Monggis Taman Kinabalu di Ranau.

Ketua Konservato­r Hutan Datuk Frederick Kugan berkata Jabatan Perhutanan akan meneruskan usaha untuk melindungi kawasan berkepenti­ngan seperti Gunung Sinsing.

Bersebelah­an Gunung Sinsing ialah Gunung Trus Madi (2,642m), yang juga gunung kedua tertinggi di Malaysia serta diletakkan di bawah pengurusan FMU10 yang berkeluasa­n 88,401 hektar.

Gunung tertinggi di Malaysia ialah Gunung Kinabalu yang berketingg­ian 4,095m. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia