Utusan Borneo (Sarawak)

Jofliam rakyat Malaysia pertama yang diiktiraf cef piza oleh APN

- — Bernama

Bermula dengan sekadar hobi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19, kini Jofli Abu Bakar, 35, merupakan cef piza yang diiktiraf oleh Organisasi Piza Napoli (APN) di Itali, bersama dua lagi rakannya dan dinobatkan sebagai 16 pasukan terbaik daripada 50 pasukan yang bertanding.

Beliau yang lebih mesra disapa Jo atau Jofliam menyertai pertanding­an Tutto Pizza di Napoli, menjadi rakyat Malaysia pertama bertanding pada acara tahunan itu bersama dua rakannya dari Itali, Salavatore Miil dan Vincenzo Di Nuzzo mewakili Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur ketika beliau ditemu ramah sebelum memulakan pertanding­an yang mengumpulk­an pembuat dan jenama piza terkenal di Itali, kelmarin.

“Pada awalnya saya nak bawa pasukan saya dari Malaysia, tetapi bila difikirkan penganjur pertanding­an tidak sediakan peti ais, mesin uli dan perkakas lain, kena bawa dari Malaysia. Jadi saya hubungi Salvatore untuk beritahu bahawa saya nak sertai pertanding­an untuk bawa nama Malaysia.

“Saya tanya sama ada dia sudi nak sertai saya dan dia berbesar hati untuk wakili Malaysia. Kita tahu orang Itali ini patriotik tinggi, jadi bila Salvatore sanggup wakili Malaysia ia satu penghormat­an untuk saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang merupakan seorang pempengaru­h media sosial dan ahli perniagaan turut berkata mengikut pemarkahan, beliau diberitahu berada di tempat keempat.

Menurut Jofliam, 16 pasukan terbaik akan berpeluang menyertai sebuah rancangan realiti di Itali iaitu Master Pizza Champion, namun beliau belum membuat keputusan untuk menyertain­ya kerana bimbang mengambil masa beberapa bulan dan perlu meninggalk­an isteri dan anak-anaknya.

“Saya kena berfikir banyak kali sebab sudah tentu kalau kita masuk pertanding­an seperti ini, kita terpaksa meninggalk­an anak-anak sebab mereka (penganjur) akan beri kita penempatan sendiri dan kita akan dipisahkan dengan dunia luar,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi motivasiny­a untuk bertanding pada pertanding­an itu ialah anak sulungnya, Han Jofli, 8, yang menyatakan kekaguman setiap kali Jofliam membuat piza daging wagyu di rumah untuk pelanggann­ya.

“Idea ini bermula daripada anak saya selalu cakap ‘papa ini cef, Han suka papa jadi cef’, jadi saya rasa kena buat sesuatu untuk ke peringkat seterusnya, saya tanya kawan-kawan di Itali tentang apa yang perlu saya buat untuk ke peringkat seterusnya, mereka nasihatkan saya untuk sertai pertanding­an piza di Napoli yang diadakan setiap tahun,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia